KUPASAN 6: APA KATA IBU BAPA IBU BAPA RAIKAN KEHADIRAN ONSA 2024

Rata-rata ibu bapa yang ditemui oleh Jendela Madani mengakui betapa perlunya ONSA 2024 dalam membantu melindungi anak-anak mereka daripada ancaman internet.

Mereka berkata , menjadi ibu bapa hari ini amat mencabar terutama dalam mengawal pengguna telefon kalangan anak-anak. Oleh itu kehadiran ONSA 2024 sangat diperlukan serta diraikan.

“Kami bukan sengaja mahu memberi telefon kepada anak-anak tetapi ada waktunya ia satu keperluan.”
“Kita boleh menasihat tetapi ada masanya persekitaran juga tidak membantu. Jika tidak diberi telefon nanti mereka meminjam daripada kawan. Dirisaukan masalah lain pula yang akan timbul,’’ kata seorang ibu muda yang mahu dikenali sebagai Erma Hashim yang menetap di Setapak, Kuala Lumpur.

Beliu juga melahirkan kebimbangan berdepan cabaran yang semakin kompleks untuk melindungi anak-anak daripada pelbagai ancaman di internet.

“Contohnya banyak kes buli siber dan eksploitasi seksual sehinggalah kepada penipuan dalam talian serta kandungan boleh mengancam anak-anak.”
“Ibu bapa yang bekerja juga tidak dapat mengawal sepenuhnya. Ada waktunya kami juga buntu. Dengan adanya ONSA diharap dapat membantu,’’ jelas beliau lagi.
Berdasarkan perkembangan terkini terhadap ancaman internet, pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) menerima sokongan yang amat positif daripada golongan ibu bapa di Malaysia.

Menurut mereka, akta ini bukan sekadar memperkenalkan undang-undang baharu, malah menjadi titik perubahan dalam pendekatan negara terhadap keselamatan ruang siber dengan meletakkan tanggungjawab yang lebih besar kepada penyedia platform digital.

IBU BAPA LEGA DAPAT BERKONGSI BEBAN ANCAMAN INTERNET

Selama ini, kebanyakan ibu bapa merasakan keselamatan anak-anak di internet bergantung sepenuhnya kepada usaha mereka sendiri.

Mereka perlu memasang aplikasi kawalan ibu bapa, menyemak kandungan yang ditonton, menetapkan had penggunaan peranti serta sentiasa memantau aktiviti media sosial anak-anak.

Melalui ONSA, pendekatan tersebut mula berubah. Penyedia platform media sosial dan perkhidmatan digital kini dipertanggungjawabkan untuk memastikan platform mereka dibangunkan dengan ciri keselamatan yang lebih kukuh sejak awal, sekali gus mengurangkan risiko kepada pengguna, khususnya kanak-kanak.

Bagi ramai ibu bapa, pendekatan ini dianggap lebih adil kerana keselamatan digital tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kemampuan individu mengawal teknologi yang sentiasa berubah.

Kehadiran ONSA 2024 amat melegakan kerana isu ancaman internet dapat dikongsi dengan pihak kerajaan serta agensi-agensi berkaitan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *