
SINGAPURA, 17 Ogos – Singapura dan China memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan aman, sekali gus menyokong usaha Singapura membangunkan keupayaan menilai potensi pemanfaatan tenaga nuklear.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura berkata, kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tenaga Atom China (CAEA) itu akan memudah cara pembangunan keupayaan antara kedua-dua negara.
Menurut kementerian itu, kerjasama berkenaan turut membantu Singapura membangunkan keupayaan secara bebas bagi membuat penilaian objektif dan teknikal terhadap potensi penggunaan tenaga nuklear.
“Ia akan menyokong usaha Singapura dalam membangunkan keupayaan bebas untuk membuat penilaian objektif dan teknikal terhadap potensi pemanfaatan tenaga nuklear.
“Penglibatan ini juga akan menyumbang kepada persediaan Singapura bagi Misi Fasa 1 Semakan Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 2027,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada penglibatan Singapura dengan pelbagai rakan antarabangsa dalam bidang teknologi nuklear, termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Korea Selatan.
Di bawah MoU berkenaan, bidang kerjasama pembangunan keupayaan merangkumi penilaian keselamatan dan aspek teknikal teknologi reaktor nuklear, selain latihan tenaga kerja serta lawatan saintifik.
Kerjasama itu turut meliputi aspek pendidikan awam, komunikasi dan penglibatan komuniti, selain keselamatan, kawalan keselamatan dan keselamatan nuklear.
Selain itu, kedua-dua negara turut memberi perhatian kepada aplikasi teknologi nuklear sebagai antara bidang kerjasama yang dikenal pasti di bawah MoU tersebut.
