
NEW DELHI, 27 Ogos – Operasi bantuan antarabangsa segera digerakkan ke Nepal selepas banjir besar dan tanah runtuh berhampiran sempadan Tibet menyebabkan kemusnahan penempatan serta korban jiwa.
IFRC memperuntukkan AS$1.4 juta bagi menyokong operasi kecemasan, termasuk bekalan air, selimut, kit pertolongan cemas, pengusung dan beg mayat.
EU mengaktifkan sistem satelit Copernicus bagi menyokong pemulihan, manakala WHO menghantar bekalan perubatan kecemasan.
India pula menghantar 10 tan bantuan kemanusiaan termasuk selimut, lampu solar dan ubat-ubatan, selain menyediakan pesawat pengangkut serta helikopter untuk operasi menyelamat dan pemindahan mangsa.
Bangladesh turut menyatakan kesediaan membantu Nepal dalam usaha menyelamat dan bantuan kemanusiaan. – AFP
