
14 September 2026
KUALA LUMPUR: Calon Exco Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, menyasarkan rombakan struktur pembangunan bola sepak wanita negara dengan memberi tumpuan kepada peluasan liga, pencarian bakat dan pengukuhan pembangunan akar umbi.
Beliau berkata pembangunan bola sepak wanita memerlukan sistem yang lebih tersusun dan menyeluruh bagi memastikan lebih ramai pemain berpotensi dapat dikenal pasti, dibangunkan serta diberi peluang untuk beraksi secara kompetitif.
Antara cadangan utama beliau ialah mewujudkan liga wanita di setiap negeri, selain menggalakkan setiap Persatuan Bolasepak Negeri (FA) membentuk pasukan wanita masing-masing.
“Pada masa sama saya mahu satu liga wanita kebangsaan diwujudkan bagi menyediakan platform pertandingan yang lebih konsisten kepada pemain wanita di seluruh negara.
“ Jumlah kelab dan pemain wanita ketika ini masih perlu diperluaskan bagi membentuk kelompok bakat yang lebih besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, ‘’ kata Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Rembau, Negeri Sembilan. Wanita gigih ini juga aktif dengan kerja-kerja kemasyarakatan di kawasan sasaran.
PERKUKUH SISTEM PENCARIAN BAKAT
Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan sistem scouting bagi memastikan pemain berpotensi yang berada di luar radar tidak tercicir.
Katanya, usaha mencari bakat tidak boleh hanya bergantung kepada pemain yang sudah berada dalam sistem, sebaliknya perlu diperluaskan ke seluruh negara termasuk di peringkat akar umbi.
Peluasan platform pertandingan di setiap negeri juga dilihat mampu membantu mengenal pasti lebih ramai pemain serta membolehkan perkembangan mereka dipantau secara lebih sistematik.
BANGUNKAN AKAR UMBI DENGAN HALA TUJU JELAS
Selain liga dan pencarian bakat, Siti Faidul mahu pembangunan akar umbi diberikan perhatian lebih serius dengan hala tuju yang jelas dan berterusan.
Beliau berpandangan struktur pembangunan yang tersusun penting bagi memastikan negara mempunyai bekalan pemain baharu dan tidak terlalu bergantung kepada kelompok pemain sedia ada.
Menurutnya, bola sepak wanita negara perlu bergerak daripada sekadar mencari pengalaman kepada usaha membina pasukan yang benar-benar mampu bersaing untuk menang.
Jika diberi mandat sebagai Exco Wanita FAM, agenda berkenaan akan menjadi antara fokus bagi memperluas ekosistem bola sepak wanita serta menyediakan laluan pembangunan yang lebih jelas daripada peringkat akar umbi hingga ke pasukan kebangsaan.
