
KUALA LUMPUR, 18 September – Pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Politeknik Premier yang layak boleh membuat semakan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan bernilai RM500 mulai hari ini hingga 31 Oktober 2026.
Kementerian Pengangkutan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bantuan secara sekali bayar itu disediakan bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar yang perlu melakukan perjalanan udara domestik bagi tujuan pendaftaran dan memulakan pengajian.
Bantuan berkenaan melibatkan pelajar baharu yang perlu melakukan perjalanan udara merentas Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan bagi sesi kemasukan September atau Oktober 2026.
Pelajar yang layak disaran membuat semakan dalam tempoh ditetapkan bagi membolehkan bantuan disalurkan terus ke akaun masing-masing.
Dokumen sokongan yang diperlukan ialah surat setuju terima tawaran, salinan kad pengenalan serta penyata bank atau salinan buku akaun bank yang aktif.
“Bantuan sebanyak RM500 bakal disalur terus ke akaun pelajar yang layak,” menurut hantaran berkenaan.
Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan domestik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat Kebangsaan di Kuching, malam tadi.
