Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan warta proklamasi 19 April

SEREMBAN, 18 September – Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan untuk mewartakan atau melaksanakan proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar bertarikh 19 April 2026, menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan.

Keputusan itu dibuat susulan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Pejabat SUK Negeri Sembilan dalam kenyataan malam tadi berkata, pewartaan atau pelaksanaan proklamasi tersebut akan bercanggah dengan peruntukan perlembagaan negeri.

Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri akur dengan pandangan AGC bahawa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berhubung proklamasi berkenaan.

“Selain daripada itu, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka,” menurut kenyataan itu.

Pejabat SUK Negeri Sembilan turut merujuk kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim kepada media pada Khamis berhubung arahan untuk mewartakan proklamasi berkenaan yang diputuskan MMKN.

Sehubungan itu, pentadbiran negeri telah merujuk perkara tersebut kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi undang-undang semasa serta UUTKNS 1959.

AGC sebelum ini memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 19 April lalu adalah tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.

AGC turut menegaskan Menteri Besar dan MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah serta Yang Dipertua DKU.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *