
SEREMBAN, 17 September – Lebih 100 keluarga di perkampungan Orang Asli Lumut kini menikmati capaian internet yang lebih baik susulan pemasangan pemancar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Kemudahan berkenaan bukan sahaja meningkatkan akses komunikasi penduduk, malah memberi manfaat khususnya kepada pelajar yang memerlukan internet bagi tujuan pembelajaran.
Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin berkata, pemancar berkenaan mampu meliputi kawasan sehingga 1.5 kilometer.
Menurut beliau, pemasangan itu mula beroperasi sejak April lalu dan kini dipantau bagi memastikan perkhidmatan internet kepada penduduk tidak mengalami gangguan.
“Untuk anak-anak di sini dan ibu bapa, akses internet ini adalah salah satu program JENDELA. Kita nak mengurangkan jurang digital antara orang kampung dengan bandar,” katanya ketika ditemui RTM selepas meninjau infrastruktur JENDELA di Kampung Orang Asli Lumut, di sini.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan peluasan kemudahan internet ke lebih banyak kampung di seluruh negeri bagi memastikan komuniti luar bandar turut menikmati manfaat transformasi digital.
Sebanyak 26 menara JENDELA disasarkan siap dipasang menjelang tahun depan, dengan 14 menara setakat ini telah mula beroperasi.
Daripada jumlah itu, dua menara masing-masing ditempatkan di kawasan perkampungan Orang Asli.
Usaha berkenaan dijangka terus memperluas akses digital kepada masyarakat luar bandar, sekali gus membantu mengurangkan jurang capaian teknologi antara komuniti luar bandar dan kawasan bandar.
