MALAYSIA PERKUKUH KEDUDUKAN SEBAGAI HAB MARITIM DAN LOGISTIK ASIA PASIFIK MELALUI MMW2026

KUALA LUMPUR, 29 September 2026 – Penganjuran Malaysia Maritime Week 2026 (MMW2026) memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara maritim yang progresif serta hab maritim dan logistik yang berdaya saing di rantau Asia Pasifik.

Berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), MMW2026 dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama strategik MISC Berhad dan Malaysia Shipowners’ Association (MASA).

Bertemakan “From Ambition to Action: Powering Maritime Excellence”, MMW2026 memberi penekanan kepada usaha menterjemahkan aspirasi, dasar dan komitmen sektor maritim kepada tindakan konkrit menerusi tiga teras strategik, iaitu dasar dan kepimpinan; modal dan teknologi; serta bakat dan keupayaan.

Tema tersebut turut selari dengan agenda World Maritime Day 2026 yang menekankan kepentingan tindakan kolektif dalam menangani cabaran global sektor maritim, termasuk peralihan tenaga, penyahkarbonan industri perkapalan, daya tahan rantaian bekalan serta pembangunan bakat maritim.

MOT PACU AGENDA MARITIM MALAYSIA

Sebagai kementerian yang menerajui sektor pengangkutan negara, MOT memainkan peranan penting dalam membentuk dasar, menyelaras kepentingan pelbagai pemegang taruh serta memastikan sektor maritim terus menyokong pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan daya tahan rantaian bekalan negara.

Kedudukan geografi Malaysia yang strategik di laluan perdagangan utama Asia turut memberikan kelebihan dalam sektor perkapalan, pelabuhan, logistik dan perkhidmatan maritim.

Sehubungan itu, pembangunan sektor maritim perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan mengambil kira perubahan landskap perdagangan global, perkembangan teknologi, peralihan tenaga serta keperluan meningkatkan daya saing dan daya tahan rantaian bekalan.

MMW2026 menjadi platform strategik yang mempertemukan pembuat dasar, pemimpin industri, pengawal selia, institusi kewangan, organisasi antarabangsa dan institusi pendidikan bagi menyelaras perspektif serta meneroka penyelesaian yang boleh diterjemahkan kepada tindakan di peringkat nasional dan serantau.

Penganjuran itu turut memperkukuh keterlibatan Malaysia dalam komuniti maritim antarabangsa, termasuk melalui penglibatan dalam agenda International Maritime Organization (IMO).

LEBIH 1,000 PESERTA SERTAI MMW2026

MMW2026 menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada menteri, pembuat dasar, pengawal selia, organisasi antarabangsa, institusi kewangan, syarikat perkapalan, pengendali pelabuhan, ahli akademik, persatuan industri dan profesional maritim.

Sepanjang lima hari penganjuran, program berkenaan menampilkan rangkaian pengisian yang menghubungkan dasar, teknologi, infrastruktur dan bakat bagi menyokong pembangunan sektor maritim secara menyeluruh.

Empat trek persidangan turut memberi tumpuan kepada:

Decarbonisation

Port and Logistics

Safety and Security

Education and Talent

Pendekatan itu menjadikan MMW2026 bukan sekadar platform perbincangan, malah ruang untuk menghubungkan dasar dengan pelaksanaan, industri dengan pembiayaan serta aspirasi dengan keupayaan dan penyelesaian sebenar.

PERKUKUH EKOSISTEM MARITIM DAN DAYA SAING INDUSTRI

MMW2026 merupakan edisi paling komprehensif sejak diperkenalkan pada 2014 menerusi pendekatan yang menggabungkan program utama di KLCC dengan beberapa program satelit di lokasi berbeza sepanjang minggu penganjuran.

Pendekatan berkenaan memperluas penglibatan kepada keseluruhan ekosistem maritim merangkumi Kerajaan, industri perkapalan, pengendali pelabuhan, institusi kewangan, akademia, badan profesional serta generasi pelapis sektor maritim.

Antara keutamaan yang diketengahkan termasuk memperkukuh kecekapan dan daya saing pelabuhan serta logistik, meningkatkan kesiapsiagaan industri terhadap peralihan tenaga, mempercepat penyahkarbonan dan pendigitalan, memperkukuh keselamatan serta sekuriti maritim dan memastikan ketersediaan bakat dengan kemahiran yang relevan untuk industri masa hadapan.

MMW2026 turut menyediakan ruang untuk sektor awam dan swasta memperkukuh hubungan dalam mengenal pasti keperluan pelaburan, teknologi serta pembangunan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan sektor maritim Malaysia.

BINA MASA DEPAN MARITIM LEBIH MAMPAN DAN BERDAYA TAHAN

MOT melihat sektor maritim bukan sekadar sebagai penyokong perdagangan dan logistik, tetapi sebagai komponen strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, keselamatan rantaian bekalan, daya tahan negara serta daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.

Pendekatan “From Ambition to Action” menjadi landasan MMW2026 bagi memastikan agenda pembangunan maritim diterjemahkan melalui kerjasama, pelaburan, inovasi, pembangunan keupayaan dan tindakan konkrit.

Melalui MMW2026, MOT akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan antarabangsa dan industri bagi meneroka peluang baharu dalam pembiayaan maritim, peralihan tenaga, penyahkarbonan, teknologi, pelabuhan dan logistik serta pembangunan modal insan.

Penganjuran itu turut membuka ruang kepada Malaysia untuk memperkukuh peranannya sebagai platform penghubung antara kepentingan global dan keutamaan serantau, khususnya dalam konteks ASEAN dan Asia Pasifik.

Melalui pendekatan yang menggabungkan kepimpinan dasar, akses kepada modal, teknologi dan pembangunan bakat, Malaysia berhasrat membina ekosistem maritim yang lebih mampan, berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing, di samping memastikan sektor berkenaan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sumber: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT)

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *