




Mahasiswa Mesti Berani Membela Rakyat, Teguh Dengan Iman dan Akhlak-
PUTRAJAYA, 1 Oktober 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru mahasiswa, khususnya Generasi Z, supaya memanfaatkan ilmu dan pengalaman di universiti untuk berkhidmat kepada masyarakat serta berani menangani kepincangan yang berlaku.
Beliau berkata, universiti tidak seharusnya menjadi menara gading yang terpisah daripada kehidupan rakyat, sebaliknya mahasiswa perlu memahami permasalahan masyarakat dan tampil membela golongan yang terpinggir.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026 di Putrajaya malam ini, di sela-sela kesibukan memuktamadkan Belanjawan Negara.
Menurut beliau, ilmu dan kelayakan akademik yang tinggi semata-mata tidak menjamin keluhuran peribadi. Justeru, kesempatan berada di universiti perlu dimanfaatkan untuk mengasah pemikiran selain memperkukuh iman, akhlak dan hati nurani.
Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip tidak seharusnya mudah digadaikan akibat godaan kuasa dan harta.
CABAR GENERASI Z CETUS SEMANGAT BAHARU
Anwar turut mencabar Generasi Z untuk mencetuskan kebangkitan semangat baharu dengan kesedaran tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat, membela golongan yang memerlukan serta menolak kebobrokan.
Beliau menyeru mahasiswa supaya berani menggapai cita-cita tinggi, namun pada masa sama terus berakar kepada nilai iman, akhlak dan jati diri.
“Jadikan ilmu sebagai kekuatan untuk membawa perubahan demi bangsa dan negara,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan mahasiswa dalam merapatkan kesenjangan antara kaum, wilayah serta kelompok berpendapatan tinggi dan rendah supaya kemajuan negara dapat dinikmati secara lebih adil.
MOHAMAD AMAR AIDID DINOBAT TOKOH SISWA NEGARA 2026
Dalam majlis sama, Anwar mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah, khususnya Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2026.
Beliau berharap pengiktirafan itu menyemarakkan semangat mahasiswa untuk terus berkhidmat dengan ikhlas serta berpegang teguh pada kebenaran.
