
ISTANBUL, 7 Oktober – Tiga tahun genosid Israel di Gaza memberi kesan dahsyat terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk kematian, kecederaan, kehilangan anggota keluarga, keguguran serta kekurangan zat makanan.
Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, 12,400 wanita terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023, manakala wanita dan kanak-kanak membentuk 4,700 daripada 11,200 orang yang dilaporkan hilang.
Laporan Wanita PBB pula menganggarkan lebih 38,000 wanita dan kanak-kanak perempuan terkorban antara Oktober 2023 hingga Disember 2025, dengan hampir 11,000 mengalami kecederaan kekal.
Keruntuhan sistem kesihatan Gaza turut menjejaskan kesihatan reproduktif wanita. Kadar keguguran meningkat 300 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama perang, manakala 2,600 kes keguguran direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama 2025.
Data Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan keadaan terus memburuk pada 2026, dengan 3,958 kes keguguran direkodkan antara Januari hingga Jun. Kadar keguguran meningkat kepada 208.5 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, berbanding 64 bagi setiap 1,000 pada separuh kedua 2025.
Wanita hamil turut berdepan kesukaran mendapatkan rawatan pranatal dan ketika bersalin akibat kemusnahan kemudahan kesihatan, perpindahan berulang serta kekurangan bekalan asas. Sebahagian wanita terpaksa bersalin di rumah atau pusat perlindungan tanpa bantuan perubatan mencukupi.
Krisis makanan turut memburukkan keadaan. Menjelang Julai 2025, 40 peratus wanita hamil dan menyusukan anak mengalami kekurangan zat makanan, manakala kira-kira setengah juta wanita dan kanak-kanak perempuan berdepan risiko kebuluran.
Perang turut mengubah struktur keluarga di Gaza. Isi rumah yang diketuai wanita meningkat daripada 9 peratus sebelum perang kepada 14 peratus, bersamaan kira-kira 58,600 isi rumah, susulan kematian, kecederaan atau kehilangan suami serta sumber pendapatan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 74,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 175,000 cedera sejak perang bermula, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur Gaza rosak atau musnah.
– BERNAMA-ANADOLU
