
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Kerajaan akan terus memperkukuh tindakan perundangan dan kerjasama antarabangsa bagi memaksimumkan pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diseleweng.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata langkah itu penting bagi mengurangkan beban kewangan negara dan melindungi kepentingan rakyat.
Setakat 31 Ogos 2026, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi memenuhi komitmen berkaitan 1MDB, termasuk prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi.
MOF memaklumkan kerajaan telah berjaya memulihkan RM31.3 bilion aset berkaitan 1MDB. Bagaimanapun, tanpa pemulihan dana tambahan, negara masih perlu menanggung baki obligasi sebanyak RM20.1 bilion.
Kenyataan itu dibuat sebagai jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, berhubung status pemulihan aset dan langkah penambahbaikan susulan Laporan Ketua Audit Negara.
