
GANGNEUNG, 20 Oktober – Pelaksanaan sistem pembayaran tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) berpotensi mengurangkan kesesakan di plaza tol, melancarkan aliran trafik serta meningkatkan kecekapan kutipan hasil.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengalaman Korea Selatan dalam mengendalikan sistem berkenaan menjadi rujukan penting kepada Malaysia dalam memperhalusi cadangan pelaksanaannya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan teknikal ke Plaza Tol Gangneung sempena Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2026 di Korea Selatan.
Menurutnya, pelaksanaan MLFF memerlukan penelitian menyeluruh dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan sistem beroperasi secara optimum, selain meminimumkan risiko ketirisan kutipan tol.
Tambah beliau, kerajaan masih memperhalusi cadangan pelaksanaan sistem itu menerusi rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya dan pihak swasta berkaitan.
