FAHMI PERKUKUH KERJASAMA DENGAN NETFLIX, BAWA KARYA MALAYSIA KE PASARAN GLOBAL

JAKARTA, 21 Oktober 2026 – Malaysia berusaha memperluas penembusan karya kreatif tempatan ke pasaran antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan platform penstriman global Netflix, khususnya dalam aspek pembangunan bakat, penerbitan bersama dan pengembangan harta intelek (IP).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibincangkan ketika beliau bertemu Naib Presiden Hal Ehwal Global Netflix Asia Pasifik, Andrew Ure, pada Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif (World Conference on Creative Economy, WCCE) di Jakarta hari ini.

Menurut Fahmi, pertemuan itu memberi ruang untuk meneroka peluang membawa lebih banyak karya, bakat dan harta intelek Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia mempunyai asas yang baik untuk menarik penerbitan antarabangsa menerusi inisiatif Malaysia seperti Film in Malaysia Incentive (FIMI), yang menyediakan rebat tunai sebanyak 30 peratus bagi penerbitan yang memenuhi syarat kelayakan.

Sebagai contoh, filem The Big Fix turut menjalani penggambaran di Pulau Pinang pada tahun ini, sekali gus membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan dan merancakkan ekosistem industri kreatif negara.

IP TEMPATAN MAMPU TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

Fahmi turut menekankan potensi harta intelek tempatan untuk menembusi pasaran global, dengan menjadikan animasi popular Upin & Ipin sebagai contoh kejayaan karya Malaysia yang merentas sempadan.

Selain itu, karya Kisah Bawah Tanah oleh Animasia Studio kini turut menemui penonton menerusi platform Netflix, menunjukkan potensi kandungan tempatan untuk mencapai khalayak yang lebih luas.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai bakat, cerita dan harta intelek yang berpotensi dikembangkan melalui kerjasama dengan pemain industri antarabangsa.

TEROKA PENERBITAN BERSAMA DAN PEMBANGUNAN BAKAT

Pertemuan itu turut membincangkan beberapa bidang kerjasama berpotensi, termasuk penerbitan bersama, pembangunan bakat, pascapenerbitan dan penerbitan dokumentari.

Kerjasama lebih erat antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan Netflix juga antara perkara yang dibincangkan bagi memperkukuh keupayaan industri kreatif tempatan dan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri.

Fahmi berkata Malaysia perlu memanfaatkan kekuatan yang dimiliki untuk membawa lebih banyak cerita tempatan kepada penonton dunia.

“Kita ada bakat, kita ada cerita dan kita ada harta intelek yang kuat. Sekarang masanya untuk kita kongsi lebih banyak cerita Malaysia dengan dunia,” katanya.

Usaha itu diharap dapat meningkatkan daya saing industri kreatif negara, memperluas pasaran karya tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada tenaga kerja dan syarikat kreatif Malaysia.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *