CBT KALANG RENGAS JOHAN AKSA 2026, TERIMA GERAN RM20,000

SIBU, 24 Okt – Komuniti Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) Kalang Rengas, Hulu Terengganu, dinobatkan sebagai johan Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026 selepas berjaya membangunkan kawasan Sungai Berang sebagai destinasi ekopelancongan lestari yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Kejayaan itu melayakkan komuniti berkenaan menerima plak penghargaan berserta geran pembangunan berjumlah RM20,000 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air.

Komuniti River Ranger Sungai Terap, Perak, menduduki tempat kedua dan menerima geran pembangunan RM15,000, manakala Taman Jajar Urban Farming, Pulau Pinang, meraih tempat ketiga dengan geran RM10,000.

AKSA yang diperkenalkan pada 2019 itu dilaksanakan setiap tahun bersempena sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat kebangsaan bagi mengiktiraf peranan, pencapaian dan keupayaan komuniti dalam menyokong usaha pemeliharaan sungai.

Penilaian anugerah merangkumi perancangan aktiviti dan kegiatan, impak terhadap alam sekitar, keselamatan awam dan alam sekitar serta pengiktirafan daripada pihak luar.

Bagi edisi 2026, sebanyak sembilan pencalonan diterima selepas tempoh permohonan dibuka dari 10 Februari hingga 31 Mac lalu. Kesemua calon membuat pembentangan kepada Jawatankuasa Panel Hakim sebelum empat penyertaan disenarai pendek untuk penilaian lanjut menerusi lawatan tapak dan proses verifikasi.

KOMUNITI KALANG RENGAS PACU EKOPLANCONGAN LESTARI

Terletak di Daerah Hulu Terengganu, Kalang Rengas di sepanjang Sungai Berang merupakan antara kawasan penting dalam Lembangan Sungai Terengganu yang dibangunkan sepenuhnya oleh komuniti Kampung Gunung berasaskan konsep ekopelancongan lestari dan mesra alam.

Inisiatif itu bermula pada 2022 secara kecil-kecilan sebelum dikembangkan menerusi idea bubble tourism ketika pandemik COVID-19.

Kerjasama komuniti setempat berjaya membangunkan kawasan Sungai Berang sebagai destinasi rekreasi yang berpotensi menjana pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

Dikenali sebagai β€œLittle Amazon”, kawasan berkenaan menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti menunggang kenderaan semua rupa bumi (ATV), berkayak, berkhemah, berperahu dan memanah.

Dengan kemudahan yang disediakan, harga berpatutan serta kapasiti yang mampu menampung sehingga 1,000 pengunjung, destinasi itu memperlihatkan bagaimana sumber sungai boleh dimanfaatkan secara lestari bagi menyokong pembangunan ekonomi setempat.

Ketua Pegawai Operasi CBT Kalang Rengas, Zulhafiz Zarriq Abd Hadi, berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja menyediakan aktiviti rekreasi, malah turut memberi manfaat ekonomi kepada peniaga dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Usaha pemuliharaan turut dilaksanakan menerusi penanaman pokok keruing dan neram di sepanjang tebing Sungai Berang bagi memelihara ekosistem sungai.

RIVER RANGER SUNGAI TERAP PERKUKUH PEMELIHARAAN SUNGAI

Komuniti River Ranger Sungai Terap di Batu Gajah, Perak, pula mempunyai hubungan rapat dengan Sungai Kinta serta sejarah pembangunan industri perlombongan bijih timah di kawasan sekitarnya.

Sungai memainkan peranan penting sebagai sumber kehidupan dan menyokong pelbagai aktiviti serta kesejahteraan penduduk. Hubungan erat itu membentuk identiti komuniti yang terus menitikberatkan pemeliharaan sungai dan alam sekitar.

Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Terap ditubuhkan pada 16 Disember 1976 dan merupakan antara KRT terawal di Malaysia.

Diketuai Puan Junaidah binti Haron sejak 2001, KRT berkenaan aktif memperkukuh hubungan kemasyarakatan serta menggalakkan penyertaan penduduk dalam pelbagai aktiviti pembangunan setempat.

Pada 2022, inisiatif River Care diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Global Environment Centre (GEC), dengan memberi tumpuan kepada pemeliharaan sungai, pengurusan alam sekitar dan penglibatan aktif komuniti.

Sejak 2024, Mohd Sharani Zainal Abidin turut berperanan sebagai penyelaras projek dan ketua media bagi menyokong pelaksanaan serta memperkukuh inisiatif River Care di Kampung Sungai Terap.

TAMAN JAJAR URBAN FARMING HIDUPKAN SEMULA SUNGAI ARA

Di Pulau Pinang, Taman Jajar Urban Farming membuktikan bahawa penglibatan komuniti secara berterusan mampu memulihkan sungai dan menjadikannya ruang yang bermanfaat kepada masyarakat.

Sungai Ara melalui transformasi antara 2000 hingga 2015 bagi menangani isu pencemaran akibat aktiviti kandang ternakan dan penternakan lembu secara berlebihan.

Melalui kerjasama komuniti dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk pembersihan sungai, pembaikan jambatan serta kempen kesedaran bagi memupuk tanggungjawab bersama terhadap kelestarian sungai.

Usaha menghidupkan semula kawasan berkenaan turut melibatkan transformasi kolam takungan menjadi padang bola sepak, aktiviti berkebun dan penanaman pokok tekoma yang mewujudkan landskap berfungsi serta menggalakkan interaksi masyarakat.

Selain itu, festival budaya dan program pendidikan berkaitan biodiversiti serta ekosistem sungai dianjurkan bagi memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesedaran alam sekitar, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep β€œRumah Kedua” menjadikan Sungai Ara sebagai ruang pertemuan, riadah dan interaksi komuniti.

Transformasi itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk delegasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2025.

Usaha berkenaan menjadi contoh bagaimana penglibatan masyarakat secara konsisten dapat menyokong pemulihan sungai, memperkukuh hubungan komuniti dan memastikan kelestarian sumber air untuk generasi akan datang.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *