






Oleh: Sholina Osman
6 FEB. 2025
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menyempurnakan program wacana INTAN Minister’s Conversation: Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Masa Hadapan bertempat di INTAN Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), Kluang, Johor.
Sempena majlis ini menerusi perkongsian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di FB, dalam wacana tersebut, Fadhlina telah berkongsi mengenai kepentingan musyawarah dalam kepimpinan yang dapat memberi manfaat kepada pendidikan negara.
Beliau juga berkongsi mengenai fokus utama KPM pada tahun ini untuk menangani keciciran murid, pembangunan pelan pendidikan baharu dan persediaan bagi kurikulum persekolahan 2027.
MENGENAI PENDIDIKAN NEGARA
Fadhlina juga menjawab soalan mengenai pendidikan negara daripada peserta yang hadir.
Hadir bersama-sama dalam program ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), YBhg Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan.
Sementara itu menerusi hantaran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di FB yang dikongsi oleh Fadhlina pula menjelaskan majlis bertujuan memberi pendedahan kepada penjawat awam mengenai kepimpinan inklusif dalam menangani cabaran pembangunan sosial, ekonomi, dan politik.
BERFUNGSI SEBAGAI PLATFORM
Selain itu, ia berfungsi sebagai platform untuk membincangkan perubahan, inovasi serta strategi meningkatkan keberkesanan dan produktiviti sektor awam melalui pendidikan, bermula dari peringkat sekolah.
Dalam wacana yang berlangsung hari ini, Menteri Pendidikan telah memberi tumpuan kepada tiga skop utama:
- Cabaran Kementerian Pendidikan Malaysia dalam tempoh dua tahun (2022-2024);
- Mengimbangi perbezaan hak komuniti bagi memperkukuh perpaduan negara; dan
- Peranan pendidikan dalam menyemai kepimpinan generasi masa hadapan.
Siri IMC 2025 merupakan penganjuran sulung di INTAN Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) yang menghimpunkan penjawat awam dari pelbagai kementerian, pentadbir negeri, serta jabatan dan agensi kerajaan khususnya dari negeri Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan.
Seramai 942 peserta telah hadir secara fizikal dan 615 orang peserta hadir secara atas talian melalui Facebook live. – JM
