




Oleh: Sholina Osman
10 FEB. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memperingatkan penjawat awam beragama Islam supaya bersiap sedia menyambut ketibaan bulan mulia Ramadan.
Anwar berkata, persiapan ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menghayati makna sebenar Ramadan yakni memperbaiki akhlak, memupuk nilai keprihatinan, dan memperkukuh kesedaran terhadap tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Dalam negara MADANI ini amalan Ramadan itu ada kaitannya kerana ia memberi satu aspek kerohanian dan penetapan nilai,” kata beliau semasa berucap pada perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Februari 2025 di Dewan De’ Seri Enson, Puspanitapuri, Putrajaya.
PENGUATKUASAAN YANG TEGAS
Perdana Menteri turut menegaskan keperluan penguatkuasaan yang tegas dalam merealisasi perubahan.
Umpamanya kata beliau, langkah berani Menteri Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) mereformasi pengurusan lesen bazar Ramadan di Kuala Lumpur yang berjaya menurunkan kadar sewa untuk peniaga.
“Saya menyokong penuh usaha menghapuskan amalan pemindahan lesen perniagaan yang berlarutan selama puluhan tahun, sama ada di ibu negara atau kota-kota besar lain,” katanya.
Sehubungan itu, katanya DBKL perlu bertindak tegas, termasuk membatalkan lesen serta-merta jika ada penyalahgunaan, agar prinsip keadilan dan ketelusan terus terpelihara.
MENYAMBUT TETAMU ASING
“Menyentuh persiapan Malaysia menyambut tetamu asing sempena kunjungan hormat dan persidangan ASEAN, saya tegaskan penjawat awam perlu menunjukkan keupayaan mengurus ratusan program bertaraf antarabangsa dengan cekap dan berkesan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dengan komitmen tinggi daripada penjawat awam ini dapat beliau saksikan sendiri semalam tatkala meninjau persiapan menyambut kunjungan sahabatnya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip ErdoÄŸan ke Malaysia.
“Sekalung penghargaan buat ribuan penjawat awam yang mengorbankan hujung minggu serta bertungkus-lumus bagi menjulang nama negara,”
tambahnya. – JM
