







Oleh: Sholina Osman
12 FEB. 2025
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 37 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada satu operasi di Pangsapuri Timur, Serdang, Selangor pada pukul 12.10 tengah malam, 11 Februari 2025.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi ini diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan ini telah dilaksanakan dengan kekuatan seramai 58 orang pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Dalam operasi ini katanya, seramai 82 individu pelbagai warganegara telah diperiksa dan hasilnya seramai 37 orang PATI yang berumur di antara 19 hingga 50 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
“Mereka yang ditahan adalah terdiri
daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan,” katanya dalam kenyataan media.
MERUPAKAN SEBUAH PANGSAPURI
Beliau berkata, lokasi serbuan merupakan sebuah pangsapuri yang didiami warga asing.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tinggal di unit-unit kediaman pangsapuri tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya.
Semasa serbuan dijalankan, kata Zakaria terdapat warga asing yang enggan memberikan kerjasama hingga memaksa pegawai operasi memecahkan pintu unit kediaman.
Beberapa orang warga asing juga dikesan bersembunyi di ruang siling bumbung dan tangki air namun helah tersebut dapat dikesan dan kesemua PATI berjaya ditangkap.
TIADA DOKUMEN PENGENALAN
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan dini, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan
Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI. – JM
