PMX arah iPayment diperluas ke semua kementerian awal Mac ini

Oleh: Sholina Osman
12 FEB. 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya pelaksanaan Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) diperluaskan ke semua kementerian dan jabatan mulai awal Mac ini.

Beliau juga berharap iPayment akan dikembangkan ke negeri-negeri.

“Jadi, itulah cabarannya kepada jabatan untuk memastikan pelaksanaan itu dipercepatkan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Kementerian Kewangan , Putrajaya, hari ini.

Anwar berkata, iPayment tentunya satu pembaharuan dan beliau setuju gesaan supaya disegerakan, kerana transformasi digital ini telah kita umumkan sebagai dasar negara hampir setahun.

ITU BOLEH DIPERCEPATKAN

“Saya percaya unjuran kita untuk menyempurnakan keseluruhan pada bulan April itu boleh dipercepatkan,” katanya.

Sehubungan itu katanya bulan Ramadan minggu pertama itu kita tumpu hal ini supaya ia diselesaikan.

Perdana Menteri berkata, ini adalah salah satu prakarsa dalam reformasi menyeluruh negara mengambil kira keluhan rakyat yang sudah lama berhadapan dengan kesulitan dalam menjalankan transaksi dengan agensi kerajaan.

PEMBAYARAN TANPA TUNAI

“Penggunaan iPayment dan pembudayaan pembayaran tanpa tunai ini mencerminkan Daya Cipta yang menjadi asas dalam nilai-nilai MADANI,” jelasnya.

iPayment adalah inisiatif pembayaran di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.

Ia mula dibangunkan pada awal 2022 dengan Fasa 1 membabitkan saluran portal, manakala Fasa 2 bermula 1 Februari lalu dan setakat ini sebanyak lapan kementerian sudah menggunakan sistem berkenaan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *