


Oleh: Sholina Osman
13 FEB. 2025
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peranan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) akan diperluaskan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid.
Beliau berkata, Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) memberi penekanan khusus kepada keperluan untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa.
“Dengan penstrukturan semula ELTC secara radikal dijangka akan memberikan impak kepada peningkatan dan penguasaan guru-guru khususnya dari aspek latihan dan pengajaran di dalam kelas,” katanya dalam kenyataan media.
Fadhlina berkata, fokus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkasakan Bahasa Inggeris tertumpu kepada empat inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
SEKOLAH DALAM TALIAN
“Ia melibatkan Highly Immersive Programme (HIP), Dual Language Programme (DLP), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah Dalam Talian dan Professional Upskilling of
English Language Teachers (Pro-ELT),” katanya.
Jelas Fadhlina, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang optimum di dalam pelantar DELIMA juga kini menjadi peneraju utama dalam peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.
“KPM menzahirkan penghargaan atas keprihatian Perdana Menteri terhadap isu-isu yang terkait dengan pendidikan dan akan terus berusaha keras untuk mereformasikan pendidikan negara demi meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata, ia selaras dengan agenda Reformasi Pendidikan KPM yang turut memberi tumpuan kepada aspek memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris sebagai salah satu hala tuju utama pendidikan negara.
Berikutan itu katanya, bagi memacu pengukuhan Bahasa Inggeris, KPM sedang mempertimbangkan beberapa penambahbaikan segera termasuk m pengstrukturan semula pusat tanggungjawab yang berkenaan bagimemastikan keberkesanan dan impak inisiatif yang sedang berjalan. – JM
