






Oleh Noraini Nordin
(Sorotan khas Pemilihan KEADILAN Sesi 2025-2028)
14 Feb 2025
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek wajar dikekalkan untuk terus menerajui jawatan tersebut bagi sesi 2025-2028 kerana beliau telah berjaya membuktikan mampu mengalas amanah tersebut dengan cemerlang.
Ketua Wanita KEADILAN Selangor , Rozana Zainal Abidin berkata, Fadhlina telah menonjolkan gaya kepimpinan yang berkarismatik selain telah melakukan perubahan serta penambahbaik yang menyegarkan lagi Wanita KEADILAN.
Imbas kembali pasca PRU-15. Wanita pertama yang menjadi Menteri Pendidikan adalah Fadhlina yang juga merupakan Ketua Wanita KEADILAN Pusat. Ini bukan tugas mudah tetapi beliau telah mampu menggalasnya dengan baik dan cemerlang.
“Ada banyak perubahan dan penambahbaikan sistem pendidikan yang dilakukan secara tersusun . Sudah pasti gaya serta langkah Fadhlina adalah suatu cerminan kepada organisasi Wanita KEADILAN,’’ kata Rozana yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri, Permatang (2018-2023) dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemilihan kepimpinan KEADILAN bagi sesi 2025-2028 yang bakal berlangsung pada 24 Mei ini yang melibatkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat .
Manakala bagi pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang pula telah ditetapkan pada 11 April 2025 hingga 20 April 2025.
GABUNGAN MUKA BAHARU DAN LAMA SEBAGAI PENGIMBANG
Mengulas lanjut , jelas Rozana lagi, usaha dan daya bantu yang dikendalikan oleh Fadhlina tidak boleh dikesampingkan.
Beliau berkata, Fadhlina juga berpengalaman sebagai aktivis masyarakat dan pengamal undang-undang yang pastinya banyak penambahbaikan yang dibuat dalam mengepalai Ketua Wanita KEADILAN.
“Pergerakan Wanita KEADILAN telah disegarkan dengan penampilan muka-muka baharu dengan gabungan muka-muka lama sebagai pengimbang.
“Sistem ASAK telah dibuat bagi mengurus tadbir Wanita KEADILAN serta cakna digital. Latihan wanita telah diperhebat dengan memperkukuhkan Wanita Cabang dan Ranting serta menghantar wanita dalam semua siri pilihanraya, ‘’ tambah beliau lagi.
Untuk rujukan, ASAK atau Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan adalah satu inisiatif Wanita KEADILAN untuk mengorak langkah ke arah pendigitalan bagi menyahut aspirasi Kerajaan Madani dalam menggapai matlamat pembangunan mampan.
ASAK juga adalah usaha untuk memperkasakan kemahiran Wanita KEADILAN dalam literasi digital dan meningkatkan daya saing mereka ketika negara menempuh era kepesatan ekonomi digital masa kini serta ke arah negara berpendapatan tinggi.
Mengulas lanjut berkaitan pemilihan tersebut, Rozana berkata, selain itu, bantuan-bantuan sosial kepada anggota diberikan dalam siri ziarah dan jelajah yang dilaksanakan oleh Fadhlina selaku Ketua Wanita Pusat (KWP).
Kata beliau, bantuan tersebut diberikan kepada anggota KEADILAN tidak mengira yang mengundinya atau tidak pada pemilihan lepas kerana kefahaman dan iltizam Fadhlina selaku KWP.
KEPIMPINAN FADHLINA MERANGKUL SEMUA KELOMPOK WANITA
Ujar Rozana lagi , daya kepemimpinan Fadhlina yang merangkul semua kelompok wanita merupakan aspirasi besar buat negara serta Kerajaan Madani yang diterajui oleh PMX Datok Seri Anwar Ibrahim.
“Sosok Fadhlina mampu merapatkan hubungan pelbagai pihak baik lawan dan kawan. Tidak mengira latar belakang apa pun, tidak mengira di mana atau siapapun pasti
beliau akan santuni seluhurnya.
“ Terbukti, bukan semua sosok mampu melakukannya, tetapi gaya kepemimpinan ini ada pada Fadhlina dan negara memerlukan sosok ini serta anggota wanita perlukan agen pemersatu sebegini, ‘’ ujar Rozana lagi.
Selain itu Rozana berkata, dalam organisasi Wanita, Fadhlina tidak pernah membezakan apa -apa bentuk bantuan ataupun program yang dijalankan kepada yang mengundi beliau selaku KWP ataupun tidak.
“ Ini tanda kebesaran jiwa Fadhlina selaku KWP yang ada daya nakhoda kapal yang memayungi sama rata.
“ Peringatan yang selalu di berikan, ditekankan dan diingatkan kepada setiap anggota wanita adalah sentiasa menunjukkan syiar KEADILAN dan kekuatan yang ada pada diri wanita itu sendiri sebagai pimpinan dan tidak memburuk burukkan di antara satu sama lain.
Tambahan dalam pemilihan parti yang bakal menjelang pada
bulan Mei ini ‘’ tegas Rozana.
