JAWATAN KWP : WANITA KEADILAN PULAU PINANG SOKONG FADHLINA SIDEK TERUS DIKEKALKAN

Fadhlina Sidek menunjukkan dedikasi yang luar biasa memperkasakan wanita
Fadhlina mampu menyatukan dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan khas Pemilihan KEADILAN sesi 2025-2028)

15 Feb 2025
 
Wanita KEADILAN Pulau Pinang menyokong penuh Fadhlina Sidek terus dikekalkan sebagai Ketua Wanita Pusat (KWP) untuk sesi pemilihan 2025-2028 yang bakal berlangsung Mei ini.

Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang, Nurhidayah Che Rose berkata, sejak Fadhlina menerajui pergerakan itu, beliau telah menunjukkan dedikasi yang luar biasa dalam memperjuangkan agenda wanita mencakupi semua bidang kehidupan serta memperkukuhkan peranan kaum hawa untuk membantu negara.

“Fadhlina seorang pemimpin yang berpandangan jauh, berwibawa, berkarisma dan telah membawa perubahan untuk memperhebatkan wanita,

“Beliau juga berjaya memperkasakan peranan Wanita KEADILAN sebagai sayap penting dalam parti seawal beliau mengambil alih tampuk kepimpinan.

“Adalah amat wajar Fadhlina dikekalkan untuk terus mengetuai Wanita KEADILAN supaya apa yang dirancang bagi memperkasakan wanita berlangsung lancar.

“Tambahan pula Fadhlina telah menunjukkan dedikasi yang luar biasa dalam memperjuangkan agenda wanita, memperkasa pendidikan serta memajukan masyarakat.

“Kejayaan beliau dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bukan sahaja membawa manfaat besar kepada rakyat malah mengukuhkan peranan wanita sebagai pemangkin perubahan dan tulang belakang pembangunan negara,’’ kata Nurhidayah dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemilihan kepimpinan KEADILAN bagi sesi 2025-2028 yang bakal berlangsung pada 24 Mei ini yang melibatkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat .

Manakala bagi pemilihan untuk jawatan di peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang pula telah ditetapkan pada 11 April 2025 hingga 20 April 2025.

Mengulas lanjut, Nurhidayah berkata, Fadhlina turut mengangkat konsep `leader creates leader’, meletakkan keutamaan kepada pembinaan kepimpinan yang berdaya saing.

INISIATIF `RUN2WIN’

Jelas Nurhidayah lagi, sepanjang menerajui Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina sentiasa membuka ruang dan peluang kepada Ketua Wanita Negeri (KWN) serta barisan pemimpin pelapis untuk menyerlah potensi dalam diri mereka.

Ujar Nurhidayah , di bawah kepimpinan Fadhlina, inisiatif seperti Run2Win telah berjaya melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berkaliber, berdaya saing serta bersedia menggalas tanggungjawab di pelbagai peringkat kepimpinan.
 
“Selain itu salah satu inisiatif kebajikan terbesar yang diterajui oleh Fadhlina ialah Program Bakul Makanan Wanita (BMW) amat jelas memberi manfaat kepada ribuan keluarga yang memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka.

“Yang membanggakan lebih 20 ribu pek bakul makanan diperuntukkan kepada semua penerima yang layak.

“Ini menjadikan BMW antara inisiatif kebajikan paling komprehensif dalam sejarah Wanita KEADILAN.

“Malah keprihatinan beliau terserlah dalam setiap langkah yang diambil dengan bantuan diberikan tanpa sebarang pilih kasih.

“Setiap kali mendengar khabar tentang individu atau keluarga yang dilanda kesusahan, Fadhlina segera bertindak dengan menggerakkan usaha bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,’’ jelas Nurhidayah lagi.

PEMIMPIN YANG DEKAT DENGAN MASYARAKAT

Beliau berkata , dedikasi dan keprihatinan Fadhlina bukan sahaja mencerminkan komitmen yang tinggi terhadap kebajikan rakyat, malah turut mengukuhkan peranan beliau sebagai seorang pemimpin yang sentiasa dekat di hati masyarakat.
 
“Sebagai KWN Pulau Pinang saya amat mengenali beliau, khususnya dari sudut  karisma dan dedikasinya dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Hubungan kami terjalin erat tambahan pula beliau merupakan Ahli Parlimen di Pulau Pinang.

“Saya pernah berkhidmat di pejabat Parlimennya serta berperanan sebagai Ahli Majlis di kawasan beliau. Meskipun dibebani dengan pelbagai tanggungjawab sebagai menteri, beliau tetap memberi perhatian kepada keperluan rakyat di kawasannya.

“Kesibukan mengurus hal ehwal kementerian tidak pernah menjadi alasan untuk Fadhlina mengabaikan kebajikan masyarakat setempat, ‘’ ujar Nurhidayah lagi.

Menurut Nurhidayah, Fadhlina sentiasa menunjukkan keprihatinan dan komitmen yang tinggi dalam memastikan segala bentuk bantuan serta kemudahan latihan dapat disalurkan dengan lancar dan berkesan kepada MPKK di kawasannya.

Beliau berkata, Fadhlina memberi penekanan khusus terhadap pembangunan dan pemerkasaan wanita termasuk wanita di Pulau Pinang .

Katanya, Fadhlina mahu semua wanita memperolehi peluang yang lebih luas dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosial dan kepimpinan.
 
“Dalam usaha membangun citra aktivis parti yang madani, sejajar dengan aspirasi PMX, Fadhlina Sidek memastikan Wanita KEADILAN bergerak seiring dengan matlamat pembangunan politik yang inklusif dan progresif.

“Melalui program Latihan Wanita (LAWA), beliau terus memperkukuh barisan kepimpinan wanita yang berdaya saing, berdedikasi serta bersedia membawa perubahan bermakna kepada masyarakat, ‘’ katanya.
 
Jelas Nurhidayah lagi, Fadhlina mencerminkan wajah Wanita KEADILAN yang inklusif dan dinamik.

Beliau berkata, Fadhlina seorang pemimpin yang mampu merapatkan jurang antara pelbagai kelompok dalam parti.

FADHLINA MAMPU MENYATUKAN DAN MENYANTUNI

Katanya, Fadhlina juga mampu menyatukan dan menyantuni semua lapisan masyarakat sebagai bukti nyata kepimpinan beliau yang adil, bijaksana serta berprinsip.
 
Menurut Nurhidayah , setiap kali tiba hari atau bulan yang bermakna, seperti sambutan Tahun Baharu Cina dan pembukaan sesi persekolahan Fadhlina sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan termasuk sumbangan buah limau serta keperluan persekolahan kepada semua Ketua Wanita Cabang.

“Langkah ini diambil bagi memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan lancar di kawasan masing-masing. Lebih membanggakan, sumbangan tersebut diberikan tanpa mengira kecenderungan politik penerima, sama ada mereka menyokong beliau atau sebaliknya.

“Sikap kepimpinan yang inklusif, prihatin dan adil ini jelas mencerminkan keperibadian beliau sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat di luar batasan perbezaan politik.

“Oleh itu, kepimpinan Fadhlina Sidek wajar dikekalkan sebagai KWP dalam pemilihan akan datang agar usaha murni beliau dapat diteruskan demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
 
“Wanita KEADILAN Pulau Pinang menegaskan bahawa kepimpinan Fadhlina adalah aset penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan serta pengukuhan Wanita KEADILAN sebagai tunjang parti.

“Kami akan terus berdiri teguh bersama Fadhlina dalam memastikan agenda wanita terus diperjuangkan dan hak serta kebajikan rakyat Malaysia terus dipertahankan,’’ tegas Nurhidayah.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *