Masa depan ASEAN bergantung kepada keupayaan anggotanya bersatu – PMX

27 FEB. 2025
Foto: FB Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masa depan ASEAN bergantung kepada keupayaan kesemua anggotanya untuk bersatu sebagai sebuah ketumbukan yang dinamik, inklusif, dan berdaya tahan.

“Dunia hari ini berada dalam keadaan yang tidak menentu terutamanya persaingan geopolitik yang terus membengis, ketidakseimbangan ekonomi semakin ketara, dan pergolakan global lantas sering menggugat kestabilan rantau ini,” katanya menerusi perkongsian di FB.

Dalam mendepani tantangan ini, katanya ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pemerhati atau hanya bergantung kepada penugasan yang diberi.

Keutamaan ASEAN bukan hak mutlak, tetapi ia adalah satu keistimewaan yang perlu diperjuang dan diperbaharui melalui kesepaduan, tindakan kolektif yang berkesan, serta komitmen berterusan terhadap keamanan dan kemakmuran serantau.

USAHA MEMBINA ASEAN

“Dalam usaha membina ASEAN yang lebih kukuh, kita tidak boleh menafikan bahawa jurang pembangunan antara negara anggota masih besar,” kata Pengerusi ASEAN 2025.

Beliau berkata, sesetengah ekonomi ASEAN berkembang pesat, sementara yang lain masih berusaha mengejar kemajuan.

“Ini adalah realiti yang mesti kita tangani dengan serius. Kemajuan tidak boleh hanya dinikmati oleh segelintir, sebaliknya ia mesti dirasai oleh seluruh masyarakat di ASEAN,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, jurang perlu dirapatkan melalui kerjasama ekonomi yang lebih erat, memperkukuh rantaian bekalan serantau, dan memastikan setiap negara mendapat peluang yang adil untuk berkembang.

Malaysia, berlandaskan kerangka MADANI, bersedia untuk menjadi pemacu dalam gagasan ini yakni dengan menekankan pelaburan hijau, pertumbuhan ekonomi yang mampan, serta pembangunan yang bersifat inklusif dan saksama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *