




1 MAC 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Diraja Anwar Ibrahim melancarkan Projek Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh bekalan makanan negara, serta memperkenalkan pertanian pintar menerusi teknologi moden dan sistem pengairan yang lebih cekap.
“Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion bagi pembangunan sistem pengairan dan pemulihan Empangan Pedu bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian,” kata hantaran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di FB.
Pada majlis sama, bantuan banjir Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) berjumlah RM10.355 juta disalurkan kepada 3,849 pesawah, sementara BERNAS menyumbang RM30juta bagi menyokong golongan pesawah.
MELANCARKAN KELUARAN PERTAMA
Perdana Menteri turut melancarkan keluaran pertama Beras Putih Tempatan (BPT) di bawah Program Khas, dengan pemantauan melalui sistem RiceTag berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran.
KPKM yakin melalui projek pembangunan ini akan meningkatkan hasil tuaian, kestabilan harga beras tempatan, serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Majlis peluncuran ini turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor. – JM
