



Oleh: Sholina Osman
(Laporan dari Satun, Thailand)
1 MAC 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Program Ziarah Mahabbah Ihyak Ramadan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bersama Tuanku Raja Muda Perlis serta Delegasi Ke Wilayah Satun, Thailand Bagi Tahun 2025.
Berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan
Negeri, Datuk Rahimi Ismail, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Raja Muda bersama delegasi pada kali ini menggunakan jalan laut dengan menaiki bot dari jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Perlis.
JETI TANJUNG GABUS
Persinggahan pertama Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama delegasi di jeti Tanjung Gabus.
Penduduk yang tinggal di sini memberikan sambutan meriah di atas keberangkatan Duli-Duli Tuanku dan delegasi.
Raja Muda juga berkenan menyampaikan sumbangan serentak kepada tiga buah masjid di sini.
Sumbangan diberikan kepada Masjid Kampung Pulau Panjang, Masjid Kampung Puju dan Masjid Tanjung Gabus.
Setiap masjid menerima RM5,000 dan juga buah kurma.
DIADAKAN SEJAK 2015
Menurut CEO MAIPs, Mohd Nazim, Program Ziarah Mahabbah Ihyak Ramadan MAIPs Bersama Tuanku Raja Muda Perlis ini telah diadakan sejak 2015.
Beliau berkata, wilayah Satun menjadi pilihan kerana kedudukan yang paling dekat dengan Perlis serta banyak mempunyai persamaan dari sudut budaya dan sejarah.
Selain itu katanya, peluang ini digunakan untuk mempromosi kemasukan pelajar dari wilayah ini ke Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Katanya, peluang ini juga digunakan untuk mempromosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026. – JM
