KPKM ambil tanggungjawab kawal amalan pencampuran BPT, BPI sejak 1970-an

Oleh: Sholina Osman
2 MAC 2025

Kerajaan MADANI mengambil tanggungjawab untuk mengawal amalan pencampuran Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import) sekalipun ia telah berlaku sejak tahun 1970-an.

Kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan amalan ini berterusan di mana tiada sebarang usaha dijalankan sejak 50 tahun lalu untuk mengawal aktiviti ini.

“Amalan ini dikesan hasil kajian umum Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember 2024,” katanya.

Justeru, susulan Mesyuarat JKKMN tersebut dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, KPKM telah diarah untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal pencampuran BPT dan BPI melalui perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

BAGI MENGAWAL PENCAMPURAN

Untuk makluman, mekanisme bagi mengawal pencampuran turut mendapat sokongan MyCC sebagai usaha penyelesaian jangka panjang.

Hasil siasatan mengenai kehilangan BPT turut terjawab apabila Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang ditubuhkan oleh КРКM.

Punca kekurangan bekalan BPT juga adalah disebabkan oleh masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT serta tiada peruntukan khusus mengenai larangan pencampuran beras di dalam Akta 522.

Sebagai makluman, harga siling BPT telah ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 yang mana pada waktu itu harga belian padi sekitar RM750 per metrik tan.

HARGA MINIMUM BELIAN

Selepas 17 tahun, harga minimum belian bagi satu tan padi telah diselaras sebanyak dua kali iaitu RM1,200 pada tahun 2014 dan RM1,300 pada tahun 2024 dengan penyelarasan yang terkini telah berkuat kuasa pada 16 Februari 2025 adalah RM1,500, namun harga siling BPT masih tidak berubah.

Dalam situasi ini, pesawah mahu mendapatkan harga padi yang tinggi bagi meningkatkan pendapatan, pengilang dan pemborong pula ingin mengekalkan margin keuntungan manakala pengguna hendak mendapatkan beras berharga RM26 bagi 10 kilogram.

Kesannya, wujud ketidakseimbangan dalam industri kerana setiap penyelarasan harga lantai belian padi tanpa disertai dengan semakan harga siling BPT boleh menyebabkan pengeluar beras tidak dapat menampung kos pengeluaran, yang akhirnya menjejaskan bekalan BPT di pasaran.

Bagi mencari solusi ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna, Kerajaan MADANI melalui KPKM telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024.

MENSTRUKTUR SEMULA TADBIR

Antara langkah awal yang telah diambil adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dan memperkasakan peranan MARDI dalam mengenalpasti varieti beras melalui teknologi DNA.

Selain itu, bagi berlaku ihsan terhadap kehidupan rakyat, Kerajaan MADANI memberikan subsidi sekitar RM150 juta untuk mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram.

Langkah ini adalah untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

KPKM berharap bahawa langkah-langkah yang diambil ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak bagi memastikan industri padi dan beras negara kekal mampan, serta bekalan beras yang stabil dan berpatutan untuk rakyat Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *