






Oleh: Sholina Osman
3 MAC 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya umat Islam menggunakan peluang di bulan Ramadan ini sebagai ruang untuk memperbaiki diri, meningkatkan amalan serta mengeratkan lagi hubungan sesama manusia.
Baginda bertitah, ini kerana Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan penyucian jiwa, peningkatan ketakwaan dan penyatuan umat.
Titah Baginda, ia adalah bulan yang penuh keberkatan, di mana setiap amalan dilipat gandakan pahalanya dan setiap doa dimustajabkan.
Oleh itu, titah Baginda marilah bersama-sama membuat persediaan yang rapi, bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga dari segi rohani.
PUASA BUKAN SEKADAR MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA
“Tujuan utama puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi untuk membentuk peribadi yang lebih bertaqwa, sabar, dan penyayang, titah Baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis.
Baginda turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
KEPADA 300 ORANG
Baginda yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM210,000 kepada 300 orang asnaf terpilih pada sesi ini.
Penerima terdiri daripada 75 orang anak kariah Padang Besar Selatan, 75 orang Behor Lateh, 75 orang Seriab, dan 75 orang lagi dari anak kariah Titi Tok Bandar.
Setiap asnaf menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, selain turut menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
Mereka juga berpeluang mendapatkan pendedahan bermanfaat melalui ceramah inspirasi, antaranya “Menjauhi Najis Dadah” oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Perlis serta “Bangun Jiwa Asnaf” oleh pihak MAIPs. – JM
