






Oleh: Sholina Osman
3 MAR 2025
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan OPS PANTAU 2025 mulai 2 Mac 2025 bagi memastikan peniaga di sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, OPS PANTAU 2025 ini dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan di Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.
“Pemeriksaan di bawah OPS PANTAU 2025 memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan/cetak rompak, perbahasaan halal
dan penjualan barang-barang keperluan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan media.
Sebelum itu Armizan membuat tinjauan di Pasar raya Giant Seri Kembangan, Selangor dan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM)
bertempat di Pangsapuri Permai, Kuala Lumpur dan Pasar raya Lotus’s Kajang, Selangor.
ISU-ISU SEMASA
Tinjauan ini bagi melihat isu-isu semasa berkait bekalan beberapa jenis barangan di pasaran, selain melihat operasi PJRM di akar umbi.
Armizan juga telah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN supaya melakukan pemantauan dengan lebih kerap dan bersasar ke atas premis-premis runcit seluruh negara dalam bulan Ramadan dan menjelangnya bulan Syawal.
Beliau berkata, fokus penguatkuasaan OPS PANTAU 2025 ialah pemeriksaan dan
pemantauan secara lebih kerap dan bersasar meliputi beberapa aspek.
“Bekalan barang yang menjadi tumpuan rakyat pada bulan Ramadan
dan Hari Raya Aidilfitri seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan bahan untuk membuat kuih-muih,” katanya.
PADA BULAN RAMADAN
Selain itu, katanya, harga barang yang menjadi tumpuan rakyat pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri seperti barangan basah, barangan untuk membuat kuih muih dan barang-barang bermasak yang dijual di bazar-bazar Ramadan.
Katanya, premis perniagaan yang mengadakan jualan murah supaya
peniaga-peniaga mengikut perundangan yang berkuat kuasa dan
tiada manipulasi harga dilakukan.
Jelasnya, peniaga akan dipastikan tidak menjual melebihi harga yang ditetapkan Kerajaan bagi barang-barang tertentu di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 yang akan diumumkan kelak.
“Memastikan premis perniagaan khususnya di Bazaar Ramadan dan Bazar Aidilfitri tiada penjualan barang tiruan di pasaran,” katanya.
MENJADI TUMPUAN PENGGUNA
KPDN akan mempertingkatkan keberadaan (omnipresence) anggota-
anggota penguat kuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuklah melalui penggunaan Van STAR (Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna), Kereta Peronda dan Unit Ronda Bermotosikal.
Selain itu, KPDN juga akan mengoptimumkan pengoperasian Pusat Arahan Penguat Kuasa (Enforcement Command Centre) KPDN yang beroperasi setiap hari mulai 8 pagi sehingga 8 malam bagi memastikan tindakan susulan segera diambil terhadap sebarang aduan, maklumat dan pertanyaan pengguna.
KPDN ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi
segala perundangan berkaitan dan memberikan komitmen terhadap
gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT). – JM
