MAIPs lancar TaWaF perkasa institusi wakaf di Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
4 MAR 2025

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus mengorak langkah memperkasakan institusi wakaf di negeri ini dengan pelancaran Tabung Wakaf Tunai Masjid-MAIPs (TaWaF) yang berlangsung di Masjid Putra Simpang Empat.

Kenyataan media MAIPs memaklumkan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs telah berkenan melancarkan TaWaF ini pada satu majlis ringkas yang bersejarah ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang baharu, Maizura Shamsuddin dan Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Mat Rejab.

Dalam ucapannya, Mohd Nazim menegaskan bahawa MAIPs komited dalam memastikan pengurusan dana wakaf dilaksanakan dengan penuh integriti dan ketelusan.

MENGUMPUL DANA WAKAF

Menurut beliau, TaWaF bukan sahaja berperanan mengumpul dana wakaf, tetapi juga sebagai platform untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan wakaf dalam pembangunan ummah.

“Kita mahu menjadikan wakaf sebagai budaya dalam masyarakat. Wakaf bukan hanya melibatkan tanah atau aset besar, tetapi juga boleh dilakukan secara tunai dan berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, dengan sokongan semua pihak, inisiatif ini mampu memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti yang lebih efektif.

LEBIH BANYAK MASJID

Tambah beliau, pelaksanaan TaWaF akan dikembangkan ke seluruh negeri Perlis secara berperingkat bagi memastikan lebih banyak masjid dapat terlibat secara langsung dalam usaha memperluaskan manfaat wakaf kepada komuniti setempat.

Sementara itu, Mohd Nazri pula menambah bahawa pelaksanaan Tabung Wakaf Tunai Masjid-MAIPs merupakan satu inisiatif bagi memperkasa amalan wakaf dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa melalui TaWaF, setiap masjid di Perlis akan memiliki tabung wakaf tersendiri yang dikendalikan secara sistematik untuk manfaat jemaah dan masyarakat setempat.

KECIL ATAU BESAR

“Dengan adanya TaWaF, kita ingin menggalakkan lebih ramai umat Islam menyumbang kepada wakaf secara tunai, sama ada dalam jumlah kecil atau besar,” katanya.

Jelasnya satu kaedah mudah bagi memastikan lebih ramai dapat menyertai ibadah wakaf dan memperoleh ganjaran berpanjangan.

Beliau turut menyatakan bahawa MAIPs akan bekerjasama dengan pihak masjid dalam aspek pengurusan serta promosi TaWaF bagi memastikan keberkesanannya dan menarik lebih ramai penyertaan daripada masyarakat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *