

Oleh: Sholina Osman
5 MAC 2025
Terbaharu, “scammer” kini menyasarkan kepada ahli keluarga prospek (banduan) dengan ‘tawaran makanan istimewa’.
Sindiket penipuan ini dilaporkan menyamar sebagai pegawai penjara dengan menggunakan nama samaran palsu seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri, Sarjan Zul, Sarjan Sani, SJN Zam dan pelbagai nama samaran lain.
Ia bertujuan memperdaya ahli keluarga atau waris prospek dengan menggunakan pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp.
TERDAPAT BEBERAPA ADUAN
Kenyataan media Jabatan Penjara Malaysia hari ini mengesahkan terdapat beberapa aduan daripada keluarga prospek berkaitan penipuan yang dilakukan oleh sindiket penipuan dengan meminta sejumlah wang untuk tujuan pembelian makanan istimewa.
Sindiket juga menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih dan meminta sejumlah wang kononnya untuk pembelian makanan istimewa bagi prospek di dalam institusi penjara.
“Sindiket penipuan ini juga menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang daripada ahli keluarga atau waris prospek,” kata kenyataan itu lagi.
MANGSA YANG TERLIBAT
Laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang terlibat dan Jabatan Penjara Malaysia akan bekerjasama dalam membantu siasatan pihak polis.
Sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia menasihatkan ahli keluarga atau waris prospek yang menerima pesanan ringkas mencurigakan.
Jangan membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau nombor akaun yang tidak dikenali atau mencurigakan.
BUAT LAPORAN POLIS
Buat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran sekiranya menerima pesanan seumpama ini.
Segera lapor perkara tersebut kepada pihak institusi penjara bagi tindakan lanjut.
Jabatan Penjara Malaysia komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan prospek serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai diminta untuk sentiasa berwaspada dan tidak terperdaya dengan taktik licik sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Jabatan Penjara Malaysia untuk kepentingan peribadi. – JM
