





Oleh: Sholina Osman
5 MAC 2025
Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol, yang menghimpunkan pelbagai pencapaian teknologi terkini negara ini telah dibuka secara rasmi pada 4 Mac 2025.
Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, ia telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
“Pavilion ini menunjukkan peranan negara dalam memacu kemajuan melalui infrastruktur 5G menerusi acara yang berlangsung pada 3 hingga 6 Mac 2025,” kata kenyataan itu lagi.
Pihak yang terlibat adalah Kementerian Komunikasi, MCMC, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan peneraju industri termasuk DNB, CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, YTL, Edotco dan MEASAT.
MEMPAMERKAN KOMITMEN NEGARA
Dalam ucapannya, Mohamad Fauzi berkata, Pavilion Malaysia mempamerkan komitmen negara untuk memacu transformasi digital dan memupuk perkongsian antarabangsa.
“Malaysia komited untuk membina ekosistem digital yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan rakan kongsi serantaunya,” katanya.
“Pavilion Malaysia di MWC 2025 adalah bukti kemajuan kami dan visi kami untuk masa depan yang terhubung, inovatif dan mampan,” tambahnya.
INTERNET BERKELAJUAN TINGGI
Beliau berkata, tumpuan utama Pavilion ialah Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA), yang telah pun melebihi jangkaan dengan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis, melepasi sasaran asal sebanyak 9 juta menjelang 2025.
Satu lagi ciri utama katanya ialah Rangkaian Teras Berbilang Pengendali 6 Hala (MOCN), inisiatif pertama seumpamanya di ASEAN yang meningkatkan ketersambungan melalui infrastruktur yang dikongsi dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih.
“Dengan mempamerkan pencapaian kami di MWC 2025, Malaysia menunjukkan bahawa kami bukan sahaja seiring dengan kemajuan global tetapi juga menyumbang inovasi berharga yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat,” tambahnya.
Jelasnya, pelawat ke Pavilion Malaysia boleh mengalami pelbagai pameran kandungan yang menunjukkan aplikasi kemajuan teknologi Malaysia merentasi penjagaan kesihatan, pendidikan, penyiaran, pembuatan, bandar pintar dan Al.
CARA TEKNOLOGI 5G
Mohamad Fauzi berkata, Pavilion mempamerkan cara teknologi 5G dan penyelesaian digital memacu kemajuan merentasi pelbagai sektor yang menekankan pendekatan kerjasama Malaysia terhadap inovasi serantau.
Penyertaan Malaysia di MWC 2025 menandakan kesediaan negara untuk bekerjasama dengan rakan kongsi global dan mencipta peluang baharu untuk pertumbuhan.
Pavilion menyediakan platform untuk pemimpin industri, penggubal dasar dan inovator untuk berhubung, bertukar idea dan meneroka kerjasama. – JM
