


Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan POLIMAS
9 MAC 2025
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) memilih Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) sebagai penerima wang zakat untuk diagihkan kepada pelajar kurang mampu.
Majlis penyerahan sumbangan wang zakat ini telah disampaikan oleh Penolong Ketua Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) MYIPO, Razhuan Hussin kepada Pengarah POLIMAS, Rosli Idris di Dewan Kuliah 1, POLIMAS.
Hadir sama Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Sa’ari.
MYIPO telah menyampaikan wang zakat bagi tahun 2024 yang berjumlah RM22,500 kepada POLIMAS.
150 ORANG PELAJAR
Sebanyak 150 orang pelajar POLIMAS dipilih sebagai penerima sumbangan wang zakat dari MYIPO.
Sementara itu Rosli berkata, pihaknya telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menilai para penerima zakat yang layak dan satu garis panduan penilaian penerima zakat telah kita sediakan.
“Pemberian zakat ini diberikan kepada asnaf yang layak meliputi tiga golongan sahaja iaitu fakir, miskin dan fisabilillah,” katanya.
Beliau berkata, penentuan penerima yang layak dibuat telus dan terperinci berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan dalam garis panduan ini yang dibangunkan hasil rujukan kepada garis panduan zakat oleh institusi zakat.
UCAPAN TERIMA KASIH
“POLIMAS merakamkan ucapan terima kasih kepada MYIPO kerana memilih POLIMAS sebagai politeknik pertama yang menerima wang zakat dari badan ini,” katanya.
“Kepada para pelajar yang akan menerima wang zakat ini adalah diharapkan mengggunakannya dengan penuh berhemah bagi keperluan semasa,” katanya.
Razhuan dalam ucapannya berkata, ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MyIPO dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hartai intelek dalam kalangan mahasiswa.
MEMBANTU SUMBER KEWANGAN
“Dengan sumbangan zakat dari MYIPO ini diharapkan dapat membantu sumber kewangan pelajar dalam meneruskan pengajian terutama bagi golongan pelajar kategori B40,” katanya.
Sempena majlis penyampaian zakat, juga diadakan sesi taklimat mengenai pengenalan harta intelek.
Taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan perlindungan harta intelek serta peranannya dalam dunia perniagaan dan inovasi. – JM
