Swasta, GLIC perlu buat pernilaian punca jumlah wanita di peringkat tertinggi masih kecil – PMX

9 MAC 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan terhadap sektor swasta terutama syarikat-syarikat Kerajaan (GLIC) supaya membuat penilaian punca jumlah wanita di peringkat tertinggi masih terlalu kecil.

Beliau juga mahukan Jemaah Menteri memberikan perhatian terhadap perkara ini untuk melihat laporan mengenai perkara ini.

“Kalau pun kurang tidak harus dipaksakan diangkat sekarang, tetapi ada perencanaan yang teliti kerana kalau Kerajaan tidak menunjukkan contoh permulaannya, saya fikir sukar untuk digesa kepada syarikat-syarikat swasta yang lain,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail;
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

CABARAN YANG BESAR

Perdana Menteri berkata, satu cabaran yang besar juga adalah penyertaan wanita dalam dunia politik.

Beliau berkata, penyertaan wanita itu menyeluruh, kemenangan calon-calon banyak bergantung kepada undi wanita.

“Penyertaan wanita dan penonjolan tokoh-tokoh wanita bagi calon wakil rakyat di Parlimen itu sangat tidak memenuhi matlamat awal kita di mana sekarang di sekitar 14 peratus walaupun kita ingin capai sekurang kurangnya 30 peratus,” kata Anwar.

Justeru katanya, harus ada gesaan ini dimana berilah ruang bagi pimpinan wanita untuk menyatakan tuntutan mereka sebagai syarat menyokong parti-parti.

TOKOH-TOKOH UTAMA

Dalam kalangan penjawat awam, katanya, beberapa tokoh-tokoh utama wanita diberikan ruang kedudukan yang baik dengan prestasi yang membanggakan.

“Tentunya saya juga memberikan pandangan serta menggesa kepada Ketua Setiausaha Negara supaya mencari jalan meningkatkan peranan dan kedudukan wanita setimpal dengan keupayaan mereka,” katanya.
 
“Kita tidak pilih wanita itu kerana kebetulan dia itu wanita, tetapi untuk berlaku adil kita pilih kerana mereka punyai peluang dan kewibawaan dengan rekod yang cemerlang dan tidak harus sisihkan,” tambahnya.

Beliau memberi contoh dalam Kerajaan sendiri telah ada peningkatan sekarang iaitu 30 peratus Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) adalah wanita. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *