






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan YTSP Perlis
10 Mac 2025.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,
gunakan perkembangan teknologi masa kini sebagai medium bagi memperkukuh nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Baginda bertitah, dalam era digital serba canggih, teknologi bukan sekadar alat komunikasi namun turut menjadi pemangkin kepada transformasi ilmu dan pembentukan jati diri.
Titah Baginda, bidang pendidikan masa kini juga semakin bergantung kepada teknologi digital yang turut membuka peluang pembelajaran tanpa batasan.
GUNAKAN MEDIA SOSIAL
Baginda bertitah, gunakan media sosial dan teknologi dengan berhemah serta penuh tanggungjawab agar ia menjadi medan yang membawa manfaat dan bukan sebaliknya.
“Kejujuran, disiplin, hormat-menghormati serta integriti adalah tunjang kepada kejayaan seseorang individu,” titah Baginda pada Program Titian Kasih Mega Tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bengkongan, Sabah.
Ia diadakan sempena Program Eksesais Perlis-Sabah 2025 (Eks Perbah) yang diketuai Baginda baru-baru ini.
MENGURNIAKAN TUJUH SUMBANGAN
Pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan mengurniakan tujuh sumbangan daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama-sama rakan strategiknya kepada sekolah terbabit bersempena program itu.
Baginda juga berkenan merasmikan dewan sekolah berkenaan yang diberikan nama Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, perkembangan kemajuan teknologi digital dapat memudahkan transformasi ilmu sekali gus membentuk individu yang berdaya saing, berfikiran global dan mempunyai semangat patriotik tinggi.
UNTUK MEMPERKAYA PENGETAHUAN
“Manfaatkan setiap peluang yang ada untuk memperkaya pengetahuan, mengasah kemahiran, serta memberikan sumbangan yang signifikan kepada kemajuan negara,” titah baginda.
Sementara itu, Pengetua SMK Bengkongan, Aina Syafiqah Abdullah semasa berucap berkata, sekolah itu sentiasa berusaha menjadi pusat kecemerlangan ilmu dan sahsiah pelajar dengan merekodkan pelbagai pencapaian membanggakan.
Katanya, dalam aspek akademik, keputusan peperiksaan awam direkodkan sekolah itu turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada setiap tahun. – JM
