Beri perhatian kepada 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan – PMX

Oleh: Sholina Osman
18 MAC 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Ekonomi untuk memberikan perhatian khusus kepada 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan khususnya berkaitan projek tebatan banjir.

Beliau berkata, salah satu perkara yang menarik perhatian ialah keperluan segera dan mendesak untuk membina Hospital Tuanku Jaafar 2 di Seremban bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

“Justeru iu saya meminta Ketua Setiausaha Negara untuk membawa cadangan ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan,” katanya menerusi hantaran di FB.

MESYUARAT KHAS PEMBANGUNAN

Sebelum itu Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua Setiausaha Negara serta barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Mesyuarat tersebut adalah antara lain berfungsi sebagai wahana untuk menilai pelbagai projek pembangunan negeri serta perencanaan jangka panjang yang menggarap aspek infrastruktur asas seperti pendidikan, kesihatan, jalan raya, tebatan banjir dan pengurusannya, alam sekitar dan sumber air.

SINERGI YANG KUKUH

Beliau turut memberi penekanan bahawa setiap projek yang direncana perlu dilaksanakan dengan sinergi yang kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan.

“Kerenah birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek mesti diminimakan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin,” katanya.

Beliau yakin dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, projek-projek ini akan memberi limpahan manfaat kepada warga Negeri Sembilan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *