





18 MAC 2025
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan kepada 50 penggiat seni tempatan dan 26 pengamal media sempena program “Raya Sama-Sama” di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Kuala Lumpur.
Program anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang bertujuan untuk memelihara kebajikan pengamal media serta penggiat industri kreatif tanah air.
“Pengamal media dan pengiat seni veteran menerima sumbangan tajaan daripada Mydin, Yayasan AEON Malaysia serta Deco Guru Builder Sdn. Bhd. (DGB Studio) sebagai persiapan menjelang Aidilfitri,” kata Kementerian Komunikasi menerusi hantaran di FB.
MENCERMINKAN PENGHARGAAN KERAJAAN
Inisiatif ini mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan besar penggiat seni veteran dan peranan penting pengamal media dalam masyarakat selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan prinsip ihsan serta pemberdayaan kemanusiaan.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Datin Rozita Waty Ridzuan. – JM
