




19 MAC 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya usaha membaikpulih serta membina sekolah baharu di Pulau Pinang selain beberapa lagi projek penting disegerakan bagi memberikan kebaikan dan keselesaan buat rakyat.
Beliau berharapan besar agar setiap kementerian dan agensi berkaitan memberi perhatian khusus dan bertindak segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Pulau Mutiara ini secara berkesan.
“Inisiatif pembangunan ini penting bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk miskin bandar dan penduduk luar bandar yang bakal menikmati manfaat jangka panjang,” katanya pada hantaran di FB.
MESYUARAT KHAS PEMBANGUNAN
Perdana Menteri dalam rangka lawatan ke Pulau Pinang juga akan menghadiri beberapa majlis penting termasuk Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang turut disertai Ketua Menteri, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta para pegawai kanan Persekutuan dan Negeri.
“Perbincangan ini memberi fokus kepada senarai Projek Keutamaan Negeri Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), yang melibatkan aspek infrastruktur jalan raya, bekalan air, kesihatan, pendidikan, sukan, perlabuhan perikanan dan perbandaran nelayan untuk diteliti selanjutnya,” katanya. – JM
