Bazar Raya NADI perkasa keusahawanan komuniti – MCMC

Oleh: Sholina Osman
22 MAC 2025

Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), satu inisiatif di bawah Program Perkhidmatan Pintar NADI anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu usaha kerajaan dalam memperkasakan aspek keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat.

Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa pelaksanaan program ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasakan pembangunan perniagaan, memperkukuh daya saing serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti setempat.

“Penganjuran Bazar Raya NADI bertujuan untuk memperkenalkan serta mempromosikan Program Keusahawanan Perkhidmatan Pintar NADI yakni satu platform komprehensif yang menyediakan latihan serta bimbingan dalam bidang
keusahawanan selain menarik lebih ramai komuniti menyertai program ini,” kata kenyataan itu lagi.

UNTUK MEMPERLUAS PASARAN

Selain itu, program Bazar Raya NADI turut memberi peluang kepada usahawan untuk memperluas pasaran dan capaian pelanggan, merintis peluang kerjasama
serta memperkukuh rangkaian perniagaan dalam kalangan usahawan NADI.

Pada masa sama, para usahawan juga boleh memasarkan produk mereka dan memperkenalkan perniagaan kepada komuniti setempat menjelang sambutan
Hari Raya Aidilfitri.

Pelancaran Bazar Raya NADI telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu majlis di NADI Sri Pantai, Kuala Lumpur.

DI 1,077 NADI

Program tersebut turut berlangsung secara serentak di 1,077 NADI seluruh negara membabitkan penyertaan lebih 5,000 orang usahawan.

Pelbagai aktiviti telah diadakan di NADI Sri Pantai bagi menarik penyertaan komuniti setempat dan memperkasakan usahawan seperti Jualan Rahmah MADANI KPDN, jualan ayam PELADANG NAFAS dengan harga istimewa, jualan
Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta jualan pelbagai produk keperluan Hari Raya oleh usahawan NADI.

Turut dianjurkan sesi webinar dan perkongsian keusahawanan bersama pakar industri, taklimat keselamatan dalam talian serta sesi pendaftaran ahli baharu dan usahawan NADI. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *