
Oleh: Sholina Osman
23 MAC 2025
Kerajaan jamin bekalan telur ayam di Malaysia kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan kerjasama erat antara pihak kementerian dan para pengeluar telur tempatan telah memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras yang stabil dan memuaskan.
“Bagi menjamin kestabilan bekalan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir,” katanya dalam kenyataan media.
KEKELIRUAN YANG TIMBUL
Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan kekeliruan yang timbul daripada beberapa laporan media berkenaan kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara.
Justeru itu, katanya rakyat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM.
Beliau berkata, langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan Kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara.
KPKM KEKAL KOMITED
“Kerajaan Malaysia melalui KPKM kekal komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik
yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan,” katanya.
Tambahnya, KPKM akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin. – JM
