Raja Muda, Raja Puan Muda hadir Program Ihya Ramadan Etiqa Family Takaful

Oleh: Sholina Osman
23 MAC 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Program Ihya Ramadan anjuran Etiqa Family Takaful Berhad di Teratak Rahmat, Bangunan Persatuan Al-Islah Perlis, Mata Ayer, Arau.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Abdul Halim, CEO Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Hawariyyun, Al-Ikhwan Rahmattullah.

Dalam majlis itu, Etiqa Family Takaful Berhad menyumbangkan sebanyak RM50,000 melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) zakat syarikat kepada rumah kebajikan tersebut.

Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan penyerahan peruntukan tahunan MAIPs berjumlah RM120,000 kepada Yang DiPertua Persatuan Al-Islah Perlis, Dr Muhammad Ihsan Idris.

PENGHUNI TERATAK RAHMAT

Sementara itu 60 orang penghuni Teratak Rahmat menerima sumbangan duit raya.

Dalam ucapannya, Zafri menzahirkan harapan agar anak-anak penghuni Teratak Rahmat sentiasa berani menghadapi realiti kehidupan, kekal gembira dalam apa jua keadaan serta menjadikan nilai silaturrahim dan hubungan sesama insan sebagai asas kekuatan diri.

“Semoga kehadiran kami hari ini bukan sekadar membawa bantuan, tetapi juga menyuntik semangat dan harapan baharu kepada adik-adik semua,” katanya.

INISIATIF CSR KORPORAT

Untuk rekod, Etiqa Family Takaful Berhad telah melaksanakan pelbagai inisiatif CSR korporat selain menunaikan zakat melalui MAIPs.

Antaranya termasuk pembinaan enam buah rumah asnaf pada tahun 2024, bantuan kepada komuniti nelayan di Sungai Baru, serta pelaksanaan program tuisyen percuma di beberapa buah sekolah terpilih.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan pihak swasta dan institusi agama dalam memperkukuh kebajikan ummah dan mempererat hubungan antara rakyat dan institusi diraja. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *