Timbalan Menteri Komunikasi lancar NADI Bandar Senai

Oleh: Sholina Osman
23 MAC 2025

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo
Nie Ching melancarkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)
Bandar Senai, Johor.

Ia menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui Program Perkhidmatan Pintar NADI yang berpandukan kepada lima teras.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan lima teras itu meliputi Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.

Penubuhan NADI Bandar Senai ini adalah sejajar dengan hala tuju NADI bagi memberi nilai tambah kepada kesejahteraan masyarakat selain merapatkan jurang digital antara penduduk kawasan bandar dengan luar bandar.

PELUANG KEPADA KOMUNITI

Menerusi NADI ini, ia membuka peluang kepada komuniti setempat dan juga komuniti di kawasan-kawasan perumahan sekitar Bandar Senai untuk menguasai teknologi komunikasi terkini.

Selain itu membolehkan komuniti meningkatkan kemahiran diri, dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

Inisiatif ini juga dijangka mewujudkan
ekosistem yang lebih dinamik dan berdaya saing.

TELAH MULA BEROPERASI

Pembukaan NADI Bandar Senai merupakan sebahagian daripada inisiatif 1 DUN 1 NADI yang telah mula beroperasi pada 29 Disember 2024 yang lalu.

Di daerah Kulai, sejumlah lima NADI yang telah beroperasi iaitu NADI Bandar Senai, NADI FELDA Bukit Permai, NADI FELDA Bukit Batu, NADI FELDA Inas Utara, dan NADI FELDA Taib Andak.

Secara keseluruhannya, terdapat 101 NADI yang telah dibangunkan di Johor, dengan 11 merupakan NADI baharu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *