







24 MAC 2025
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa hadir majlis berbuka puasa bersama warga Kuala Lumpur di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda dalam Program Nur Ramadan Peringkat Kuala Lumpur.
Semasa berucap, beliau menekankan prinsip keadilan seperti maksudnya dalam istilah ‘wad’un syai’in fi mahalihi’, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan memberikan hak kepada yang berhak.
“Contohnya di Kuala Lumpur, salah satu isu yang menjadi perhatian warganet sepanjang bulan Ramadan ini adalah berkaitan pengurusan bazar,” katanya menerusi hantaran di FB.
BAZAR YANG TELUS
“Prinsip keadilan ini kita terjemahkan melalui pengurusan bazar yang telus dan adil, bebas daripada campur tangan orang tengah, agar para peniaga mendapat hak mereka,” tambahnya lagi.
Dalam program yang sama, beliau menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM4.8 juta oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menampung kos untuk 4,000 murid asnaf melalui program MySchoolBus@Wilayah.
DBKL juga menyalurkan dana tambahan sebanyak RM5.2 juta, menjadikan keseluruhan dana kerajaan mencecah RM10 juta.
PELABURAN JANGKA PANJANG
“Ini adalah pelaburan jangka panjang untuk memastikan anak-anak ini tidak tercicir daripada pendidikan akibat kekangan hidup,” katanya.
Dr Zaliha percaya, usaha mengubah nasib sesebuah keluarga bukan berlaku dalam tempoh setahun dua sahaja malah memerlukan sekurang-kurangnya satu generasi.
Beliau berkata, Insya-Allah, anak-anak ini akan memperoleh pekerjaan yang baik, membantu keluarga dan akhirnya menyumbang semula kepada masyarakat.
“Inilah kitaran yang sedang kita bina melalui Program Usaha Jaya Insan di Wilayah Persekutuan di mana ingin memastikan tiada sesiapa pun yang tercicir dalam arus kemajuan,” katanya. – JM
