



Oleh: Sholina Osman
26 MAC 2025
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, aktiviti gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk ini sebenarnya telah mengembalikan nostalgia amalan tradisi yang penuh dengan nilai murni dan semangat kekeluargaan.
Beliau menambah program sebegini juga bukan sahaja menjadi platform untuk bersama-sama menyantuni masyarakat, malah secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim sebagai satu komuniti di Bandar Tun Razak ini.
“Sempena bulan Ramadan yang mulia ini juga, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan memperingati golongan yang
memerlukan,” katanya.
SUMBANGAN KASIH MADANI
Beliau berucap demikian ketika menyempurnakan Program Sumbangan Kasih MADANI dan Pengagihan Bubur Lambuk Parlimen Bandar Tun Razak di Surau Al-Mustaqimah, Taman Jaya, Bandar Tun Razak.
Di majlis berkenaan juga disampaikan sumbangan tunai beserta bakul makanan rahmah kepada 200 orang penerima dari golongan yang memerlukan di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak.
KEIKHLASAN DAN KEPERIHATINAN
Dr Wan Azizah berkata, sesungguhnya Ramadan mengajar semua erti kesabaran, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan.
“Saya berharap sumbangan kecil yang disalurkan pada hari ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban sahabat-sahabat kita yang memerlukan dan memberi kegembiraan buat mereka menyambut lebaran yang
bakal menjelang,” katanya.
Beliau juga mendoakan agar semua sahabat-sahabat sukarelawan yang sudi meluangkan masa membantu menjayakan program hari ini diberikan ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat atas usaha murni. – JM
