





Oleh: Sholina Osman
3 APRIL 2025
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengenalpasti empat pelajar Intitusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas dan menjadi mangsa dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
Kenyataan media KPT memaklumkan kesemua pelajar berkenaan berada dalam keadaan stabil dan dua daripadanya ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights.
“Dua lagi telah pulang ke kampung, namun masih dalam keadaan trauma dengan kejadian yang menimpa,” katanya.
MENYELARAS MISI BANTUAN
Selain itu, KPT telah menyelaras misi bantuan di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) juga melalui Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) melibatkan sumbangan keperluan asas, psikososial, perubatan dan sukarelawan.
KPT juga mengumumkan beberapa insentif antaranya sumbangan RM2,000 oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada setiap pelajar yang terkesan.
“Pelajar yang terkesan ini juga diberi kelonggaran untuk lewat melakukan pendaftaran bagi semester baharu dijangka pada 7 April 2025,” kata kenyataan itu lagi.
Juga dilakukan pengagihan barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, kit kebersihan diri dan keperluan asas akan diberi kepada kesemua mangsa di PPS
DAN SOKONGAN PSIKOLOGI
“Mengaturkan sesi kaunseling dan sokongan psikologi kepada semua mangsa terutama yang mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan,” katanya.
Perkhidmatan klinik bergerak menerusi Konsortium Hospital Universiti Awam
(KHUAM) untuk komuniti yang terjejas bagi memberikan rawatan kecemasan, pemeriksaan kesihatan dan sokongan perubatan kepada mangsa kebakaran yang memerlukan perhatian segera.
Bantuan oleh sukarelawan-sukarelawan dengan koordinasi bersama pihak berkuasa bagi memastikan proses pasca pemulihan berjalan lancar.
KPT juga bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan dan sokongan kepada mangsa terutama kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas. – JM
