MCMC kemuka 110 permohonan kepada Meta turunkan kandungan bersifat perkauman di FB

Oleh: Sholina Osman
3 APRIL 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan 110 permohonan kepada Meta bagi menurunkan kandungan yang bersifat perkauman dalam kumpulan Facebook (FB) tersebut.

Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa daripada 110 permohonan yang dikemukakan, FB mendapati 106 kandungan telah melanggar Piawaian Komuniti FB dan telah diturunkan.

Sehubungan itu, МСМС menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan yang boleh mencetuskan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini,” kata kenyataan itu.

KETERANGAN DUA INDIVIDU

Sementara itu, MCMC juga telah mengambil keterangan dua individu yang berperanan sebagai pentadbir utama sebuah Kumpulan FB yang
digunakan sebagai platform utama bagi penyebaran maklumat dan komentar yang dipercayai boleh membangkitkan ketegangan antara kaum dan agama, serta seterusnya mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Sesi rakaman percakapan telah dijalankan pada pukul 9.00 malam, di Ibu Pejabat MCMC Cyberjaya pada 27 Mac 2025 lalu selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Sebuah telefon bimbit dan kad SIM telah disita bagi tujuan pembuktian kes.

Kes disiasat di bawah seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000, atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *