MCMC rakam percakapan pegawai khidmat pelanggan muat naik kandungan jelik

Oleh: Sholina Osman
4 APRIL 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang pegawai khidmat pelanggan yang dipercayai memuat naik kandungan bersifat jelik melampau, serta menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi media sosial X.

Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa sesi rakaman percakapan tersebut telah dijalankan di ibu negara dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebuah telefon pintar dan kad sim milik lelaki berkenaan telah disita bagi tujuan analisis forensik.

Rakaman percakapan suspek juga telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk membantu siasatan.

MEMPERUNTUKKAN HUKUMAN DENDA

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara
maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC sekali lagi ingin mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan atau pandangan yang berbaur kebencian membabitkan elemen 3R (perkauman, agama dan Institusi Diraja) di media sosial dan aplikasi pemesejan.

Tindakan penguatkuasaan bersama PDRM akan diambil secara berterusan terhadap mereka yang terlibat, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi keharmonian dan ketenteraman awam. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *