



Oleh: Sholina Osman
4 APRIL 2025
Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang prihatin terhadap kesulitan oleh pelanggan yang terjejas akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025 bersetuju memberikan rebat 100 peratus bagi satu bulan bil secara one-off.
Ia berdasarkan caj semasa bil bulan Mac 2025 dan akan dikredit dalam bil elektrik bulan April 2025 bagi pelanggan yang terjejas.
“TNB melaksanakan inisiatif awal untuk meringankan beban pengguna yang terkesan ini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” kata TNB Careline menerusi hantaran di FB.
Selain itu, antara bantuan yang disediakan turut merangkumi tiada caj sambungan bagi permohonan semula bekalan elektrik untuk rumah yang mengalami gangguan bekalan akibat insiden ini.
BAGI BIL SEMASA
“Tiada surcaj lewat bayar bagi bil semasa,” katanya.
TNB juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta kontraktor berdaftar yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan pendawaian, bagi memastikan sistem elektrik di rumah yang terkesan dalam keadaan baik dan selamat.
Pada ketika ini, TNB telah membuka kaunter perkhidmatan berhampiran Bilik Gerakan Polis mulai 2 April untuk memudahkan pengguna yang terjejas mendapatkan bantuan perkhidmatan berkaitan elektrik.
PELANGGAN YANG TERKESAN
Pegawai TNB akan menghubungi semua pelanggan yang terkesan untuk mengatur bentuk bantuan yang akan disalurkan.
Pengguna juga boleh menghubungi Ketua Perhubungan Pelanggan TNB, Encik Thava, di talian 012-6060954 untuk sebarang maklumat lanjut.
Selain itu pihak TNB juga akan menilai inisiatif bantuan dari semasa ke semasa mengikut keperluan selanjutnya.
MEMANTAU STATUS BEKALAN
Pihak TNB komited untuk terus memantau status bekalan elektrik di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk.
Malah TNB juga mendoakan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dan berharap agar kerja-kerja pemulihan berjalan lancar. – JM
