Dana RM30 juta mula diagih kepada lebih 200,000 pesawah di seluruh negara – Mohamad

Oleh: Sholina Osman
6 APRIL 2025

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan pihaknya telahpun memulakan proses pengagihan dana RM30 juta kepada lebih 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengagihan sumbangan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April 2025.

Beliau berkata, sumbangan ini adalah inisiatif daripada syarikat swasta iaitu Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“KPKM ingin memaklumkan bahawa ndana RM30 juta telah diterima sepenuhnya daripada BERNAS pada Jumaat, 28 Mac 2025,” katanya dalam kenyataan media.

BUKANLAH DANA AWAM

Mohamad berkata, dana berjumlah RM30 juta ini bukanlah dana awam, sebaliknya adalah peruntukan dalaman syarikat yang tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat BERNAS sendiri.

Katanya, setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), piawaian pengurusan kewangan dalaman, serta kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat.

“Maka itu, penyaluran sumbangan hanya boleh dilaksanakan setelah semua keperluan pematuhan ini diselesaikan sepenuhnya — seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diamalkan oleh pihak syarikat, terutama melibatkan dana berskala besar,” katanya.

MENGAMBIL SEDIKIT MASA

Sehubungan itu katanya, proses ini mengambil sedikit masa kerana perlu mematuhi peraturan kewangan serta tatacara dalaman syarikat.

Beliau berkata, sebagai sebuah Kerajaan MADANI yang berpegang kepada prinsip keutamaan rakyat, pendekatan yang diambil adalah meminta syarikat swasta membantu golongan yang memerlukan seperti pesawah, dan bukan menyumbang kepada parti politik seperti yang menjadi amalan kerajaan terdahulu.

“Kita percaya, sokongan korporat sewajarnya disalurkan untuk manfaat rakyat, bukan kepentingan politik,” katanya.

AMAT MEMAHAMI KEGUSARAN

Jelasnya, KPKM amat memahami kegusaran serta harapan tinggi daripada para pesawah.

“Kami ingin menegaskan bahawa kementerian komited sepenuhnya dalam memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak,” tambahnya.

Kementerian juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pesawah sepanjang proses ini berlangsung, tambah Mohamad. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *