





6 APRIL 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan di MITC Melaka.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri, barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri selain pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.
“Alhamdulillah, saya berbangga melihat kemeriahan sambutan Aidilfitri yang begitu penuh ceria dan kegembiraan dengan bersalaman, bertegur sapa, bergambar untuk momen kenangan bersama-sama,” katanya dalam perkongsian di FB.
Dalam ucapan, beliau memaklumkan bahawa Syawal adalah bulan kemenangan dan kejayaan selepas berlalunya Ramadan yang menuntut kesabaran serta keyakinan diri berperang dengan hawa nafsu masing-masing.
JUGA BOLEH DIUKUR
“Kejayaan juga boleh diukur di peringkat Kerajaan Negeri dan Persekutuan apabila rakyat menikmati pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang rancak, dipacu dengan perubahan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, tenaga hijau dan industri semikonduktor,” katanya.
Perdana Menteri berkata, prasarana, infrastruktur, projek tebatan banjir, sekolah, parit, dan segala terkait dengan kebajikan rakyat, perlu disiapkan dengan cepat dan dilaksanakan sebaiknya agar dapat dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
“Terima kasih kepada semua hadirin atas sambutan dan layanan luar biasa. Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin. Moga kemeriahan dan keberkatan bulan Syawal terus dinikmati kita semua,” katanya. – JM
