MCMC buka 4 kertas siasatan terhadap pempengaruh, aktivis politik

Oleh: Sholina Osman
8 APRIL 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (МСМС) telah membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu yang merupakan pempengaruh dan aktivis politik.

Kenyataan media MCMC memaklumkan ia berkaitan dengan memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur 3R (perkauman, agama, dan Institusi Diraja) di platform Facebook dan TikTok.

“Sesi rakaman percakapan terhadap mereka dijalankan pada hari ini (7 April 2025) di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya bagi membantu siasatan lanjut,” kata kenyataan itu.

MENIMBULKAN SENTIMEN PERKAUMAN

Salah seorang daripada dua individu tersebut merupakan pempengaruh dan aktivis politik yang menimbulkan sentimen perkauman di media sosial melibatkan lagu kebesaran Negeri Perak, penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad, serta tentang pengambilalihan Menara Kuala Lumpur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

SATU UNIT TELEFON

Sebanyak satu unit telefon bimbit dan satu kad sim milik seorang suspek telah disita bagi tujuan analisis forensik.

Manakala bagi seorang lagi suspek, telefon bimbitnya telah pun disita oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan atas kesalahan yang berlainan.

Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah, dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *