Jaminan kepada para pelabur seluruh dunia ASEAN kekal terbuka – PMX

Oleh: Sholina Osman
8 APRIL 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada para pelabur di seluruh dunia bahawa ASEAN kekal terbuka dan mesra pelabur.

Beliau berkatq, ASEAN telah membina ketahanan ekonomi yang tinggi melalui dasar fiskal dan kewangan yang berhemah.

“Kini kitq lebih bersedia mendepani apa jua cabaran global yang mendatang,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu Perdana Menteri hadir pada sesi ‘Investor Breakfast Roundtable’ sempena Persidangan Pelaburan ASEAN 2025.

KUAT DAN BERSATU

“ASEAN merupakan sebuah rantau yang kuat dan bersatu, komitmen kita kepada kerjasama ASEAN tidak pernah goyah,” katanya.

Beliau berkata, semangat kolektif serantau ternyata sumber kekuatan utama yang mesti dimanfaatkan secara agresif.

Jelasnya, ekonomi rantau ASEAN kekal stabil meski dibadai ketidaktentuan global.

“Dasar perlindungan (protectionism) perdagangan Amerika Syarikat mutakhir ini merupakan cabaran yang dihalakan ke arah kita. Namun, ASEAN tidak gentar dan tidak akan berpecah-belah,” tegas PMX.

RUNDINGAN YANG ADIL

“Seperti yang telah saya tegaskan, kita memilih jalan rundingan yang adil, damai serta saksama, bukannya perseteruan,” tambahnya.

Sementalahan, katanya, Malaysia tidak akan tergesa-gesa mengenakan tindakan balas yang boleh merugikan semua pihak dan menempiaskan dampak yang lebih parah.

Sebaliknya, pendirian ASEAN jelas yakni berpegang teguh pada prinsip perdagangan bebas yang adil dan mengutamakan budaya dialog dan wacana yang segar dan sihat dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya telah berunding dengan pemimpin serantau lain untuk memastikan tindakbalas kita terhadap tantangan ini kekal padu dan sederap,” tegasnya lagi.

KINI JAUH BERBEZA

Beliau berkata, keadaan kini jauh berbeza ketimbang era kemelut ekonomi Asia 97-98.

“Pada ketika itu, ekonomi serantau rapuh dan mudah terjejas,” jelasnya.

Kini, kata Perdana Menteri asas ekonomi ASEAN jauh lebih kukuh dengan kerjasama serantau yang lebih erat.

“Pengalaman pahit itu telah mengajar kita untuk lebih bersedia dan berhati-hati,” jelasnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *